Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Kes jangkitan baharu turun kepada dua angka

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL –  Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan kes baharu jangkitan COVID terendah dua angka sejak gelombang ketiga COVID melanda negara pada awal tahun ini, iaitu 98 kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID kepada 141,629 orang.

    Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Yang Berhormat Dato kemudian menjelaskan bahawa daripada 98 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan, 94 kes adalah hasil ujian ART manakala empat kes adalah hasil dari 580 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Terdapat satu kes yang dikategorikan dalam kategori 5 yakni mereka yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU).

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa mengumumkan perkembangan terkini situasi jangkitan di negara ini pada sidang media kelmarin yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

    “Manakala satu kes sedang berada dalam kategori 4 yakni mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Beliau juga mengongsikan bahawa sebanyak 153 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 140,575 kes. Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 836 kes iaitu 17 kes sedang dirawat di hospital manakala 819 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Semasa sidang media itu juga, Yang Berhormat Dato turut me-ngongsikan sebanyak 1,139 dos vaksin telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 19,537 dos iaitu 45.5 peratus.

    Ini bermakna dalam masa lebih kurang satu bulan saja, hampir 50 peratus kanak-kanak berumur di antara lima hingga 11 tahun telah mendapatkan satu dos vaksin COVID.

    “Kepercayaan dan komitmen para ibu bapa dan penjaga yang secara sukarela berusaha untuk memastikan anak-anak biskita dilindungi daripada ancaman jangkitan COVID adalah satu perkara yang sangat membanggakan,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    “Dengan kita sudah hampir mencapai masa satu bulan sejak pemberian vaksin di dalam kumpulan umur ini, terdapat kanak-kanak yang sudah mencapai masa untuk mendapatkan dos kedua vaksinasi berkenaan,” tambahnya.

    Oleh itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengalu-alukan para ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak-anak mereka mendapatkan dos kedua bagi melengkapkan vaksinasi COVID untuk kanak-kanak di dalam kumpulan umur tersebut.

    Beliau turut mengongsikan bahawa sebanyak 245 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah dos kedua yang diberikan kepada kanak-kanak di dalam kumpulan umur itu kepada 591 dos iaitu 1.4 peratus kanak-kanak.

    Sementara itu, liputan bagi penduduk negara ini yang telah menerima tiga dos vaksin adalah kekal pada kadar 65 peratus.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk mempertingkatkan lagi amal ibadah di penghujung bulan Ramadan ini, dan memohon keampunan atas segala dosa yang telah lalu serta memanjatkan kesyukuran atas segala nikmat yang telah diberikan.

    “Semoga kita sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT jua. Aamiin Aaminn Ya Rabbalalamin,” tambahnya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...