Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Mahkamah arah perintah tambahan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Pendakwa Raya hari ini mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi perintah rampasan dan perintah mendapatkan aset di bawah Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012 terhadap Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kolonel (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin.

    Permohonan berkenaan turut disaksikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Hakim Mahkamah Besar, Edward Timothy Starbuck Woolley melalui telesidang hari ini.

    Selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 2019, Dayang Ramzidah disabitkan dengan jenayah pecah amanah sebanyak $15,781,292.24 yang dilakukan selama 14 tahun dan kesalahan pengubahan wang haram.

    Sementara itu, Haji Nabil Daraina disabitkan dengan tiga kesalahan pengubahan wang haram berjumlah $470,000.

    Dalam pada itu, pendakwa raya memohon wang berjumlah $436,352.41 dalam 12 akaun bank, 19 buah kenderaan bernilai $1,568,000 dan 456 barangan mewah termasuk jam tangan, beg tangan, aksesori dan kasut bernilai $956,255 untuk diisytiharkan sebagai harta kekayaan yang tercemar.

    Mahkamah telah membenarkan permohonan berkenan dengan memerintahkan supaya aset bernilai $2,919,155.41 untuk dirampas.

    Semua wang yang diperoleh semula akan dibayar ke dalam Kumpulan Wang Rampasan Aset Jenayah.

    Di samping itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwa raya untuk Ramzidah membayar kepada kerajaan Brunei Darussalam baki jumlah $12,924,334.15 yang telah digunakan hasil daripada penyelewengannya yang tidak diperolehi daripada rampasan tersebut.

    Sementara itu, Haji Nabil Daraina turut diperintahkan membayar kepada kerajaan berjumlah $480,708.84 yang telah digunakan hasil daripada jenayah pecah amanah yang dilakukan Ramzidah.

    Jumlah yang diperintahkan itu mengambil kira perubahan dalam nilai wang dan inflasi.

    Jika gagal membayar jumlah yang diperintahkan oleh mahkamah dalam tempoh sembilan bulan, Ramzidah akan menjalani hukuman penjara tambahan selama tujuh tahun enam bulan selepas 15 tahun penjara yang sedang dijalaninya.

    Sementara itu, Haji Nabil Daraina akan menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga tahun selepas tujuh tahun dan enam bulan penjara yang sedang dijalaninya.

    Responden-responden juga diperintahkan supaya membayar kos bagi kedua-dua permohonan rampasan dan mendapatkan semula hasil jenayah berjumlah $80,000 kepada pendakwa raya dalam tempoh tiga bulan.

    Pendakwa raya telah diwakili oleh Dato Seri Setia Davinder Singh SC dan timbalan-timbalan pendakwa raya terdiri daripada Hajah Suriana Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza
    Pengiran Haji Abdul Latiff, berserta penasihat daripada Davinder Singh Chambers LLC, Navin Thevar, Tan Ruo Yu dan Ayana Ki.

    Siasatan ke atas perolehan semula aset yang dipegang oleh kedua-dua responden telah dijalankan oleh Biro Pencegah Rasuah.

    Peguam Sheikh Noordin Sheikh Mohammad mewakili kedua-dua responden.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...