Wednesday, May 22, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Konflik Etiopia jejas jutaan pelajar

    ADDIS ABABA, 30 APRIL – Konflik dan bencana alam telah memaksa lebih 4.1 juta kanak-kanak tidak bersekolah di wilayah Amhara Ethiopia, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA).

    Lebih 4.1 juta kanak-kanak tidak bersekolah di Wilayah Amhara disebabkan pertempuran berterusan, kemarau dan faktor pengkompaunan lain, kata UNOCHA dalam kemas kini kelmarin. Ia berkata angka itu mewakili kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di wilayah itu bagi tahun akademik semasa, lapor Xinhua.

    Menurut data daripada UNOCHA, rasa tidak selamat yang berterusan dan kesan konflik Etiopia Utara selama dua tahun baru-baru ini telah memaksa kira-kira 4,178 buah sekolah ditutup, membentuk kira-kira 41 peratus daripada jumlah sekolah di rantau itu.

    Menyedari bahawa kira-kira 300 buah sekolah di pelbagai zon di rantau ini rosak dan sekitar 350 lagi tidak berfungsi kerana konflik dan rasa tidak selamat, UNOCHA berkata beberapa buah daerah di rantau itu telah menutup sekolah kerana kekurangan bekalan sekolah.

    Ia juga berkata kira-kira 1.7 juta kanak-kanak di kawasan itu memerlukan bahan akademik manakala lebih daripada 56,000 guru dan kakitangan pendidikan memerlukan sokongan psikososial.

    Pihak berkuasa wilayah kini merancang kurikulum selama enam bulan untuk memulihkan pembelajaran yang hilang. Menurut UNOCHA, program pemberian makanan di sekolah telah menyokong lebih 156,000 orang pelajar di lapan buah daerah, namun peningkatan ketara bantuan makanan dan pendidikan masih diperlukan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Australia dan New Zealand hantar pesawat, keluarkan warga dari New Caledonia

    SYDNEY, 21 MEI - Kerajaan Australia dan New Zealand mengumumkan pada hari ini bahawa mereka menghantar pesawat untuk memindahkan rakyat mereka dari New Caledonia...