Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Kongres kupas keberdayaan bahasa Melayu Nusantara

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Pembentangan ke-17 Siri Kongres Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu Sempena Bulan Bahasa (KABSBM) yang berlangsung secara maya hari ini telah mengupas tajuk ‘Bahasa dan Ideologi Negara: Kajian Bandingan Keberdayaan Bahasa di Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.’

    Pembentangan kali ini yang menampilkan Penyelidik dan Pemerhati Bahasa Singapura, Dr Mohamed Pitchay Gani bin Mohamed Abdul Aziz, yang mengemukakan perbincangan dan dapatan kajian bandingan terhadap keberdayaan bangsa dan bahasa di empat buah negara utama penutur bahasa Melayu/Indonesia, iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

    Keberdayaan bahasa itu juga dikolerasikan dengan keadaan bahasa di kawasan tertentu, iaitu penggunaan bahasa yang dipengaruhi oleh persepsi, sikap, dasar, agama dan persekitaran.

    Dapatan kajian yang dihuraikan juga membuktikan bahawa kedudukan Bahasa Melayu di Nusantara adalah mantap dan terus digunakan sama ada sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu ataupun bahasa komunikasi luas.

    Pembentangan berkenaan telah dipengerusikan oleh Pegawai Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, Dayang Masni binti Moktal.

    Siri kongres anjuran DBP Brunei melalui Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa itu telah diikuti oleh seramai 134 orang peserta melalui penstriman platform Facebook DBP Brunei dan aplikasi Zoom.

    Turut menghadiri pembentangan itu ialah Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab; Pemangku Timbalan Pengarah DBP Brunei, Hajah Sariani binti Haji Ishak, para pemakalah dari dalam dan luar negara, rakan-rakan strategik DBP, pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan para pencinta bahasa, sastera dan budaya dari dalam dan luar negara.

    Penyelenggaraan KABSBM dengan tema utama ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ itu turut didukung bersama oleh rakan-rakan strategik DBP, iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Majlis Belia Brunei (MBB), ASTERAWANI Brunei dan Kumpulan Putra Seni (KPS).

    Dr Mohamed Pitchay Gani semasa menyampaikan pembentangan pada kongres KABSBM yang berlangsung secara maya kelmarin. – Gambar serahan DBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...