Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lebih 20,000 terima kurnia peribadi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan untuk mengurniakan kurnia peribadi Baginda kepada seramai 20,728 orang penerima di seluruh negara yang bermula hari ini.

    Penerima-penerima berkenaan terdiri daripada beberapa golongan iaitu orang-orang berkeperluan khas, anak-anak yatim, orang fakir miskin, dan penerima bantuan kebajikan bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini secara serentak di keempat-empat daerah bermula 17 April dan disambung semula pada 19 April dan seterusnya. Kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada tahun ini adalah merupakan kali ke-13 ia diadakan yang bertujuan bagi membantu meringankan beban golongan-golongan tertentu di negara ini.

    Seramai 13,563 orang penerima bagi Daerah Brunei dan Muara; 3,375 penerima bagi Daerah Belait; 2,883 orang penerima bagi Daerah Tutong; dan 907 orang penerima bagi Daerah Temburong akan menerima kurnia peribadi Baginda pada tahun ini.

    Memandangkan negara masih lagi berdepan jangkitan wabak, maka ke arah menjaga keselamatan semua pihak, pengagihan kurnia peribadi Baginda akan sekali lagi diserahkan terus kepada para penerima di kediaman masing di keempat-empat daerah sepertimana yang pernah dibuat pada tahun 2020.

    Bagi tujuan tersebut sebanyak 103 kumpulan terdiri daripada para pegawai kerajaan (termasuk pasukan beruniform), Bank lslam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan dilibatkan bagi pengagihan kurnia tersebut yang mana jumlah keseluruhan para petugas bagi tujuan tersebut adalah seramai 515 orang termasuk penglibatan dan kerjasama beberapa syarikat kepunyaan kerajaan yang lain termasuk DST.

    Adalah diharapkan kerjasama bersepadu itu akan membuahkan hasil khususnya dalam memastikan pengagihan kurnia peribadi kepada golongan tertentu akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna demi menanai hasrat Baginda untuk sama-sama melihat golongan tersebut tidak ketinggalan daripada menerima bantuan Baginda sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...