LEICESTER, UNITED KINGDOM, 5 MEI – Pengurus Leicester, Brendan Rodgers berkata kelab itu akan berusaha melakar satu lagi sejarah baharu ketika mereka bersiap sedia untuk menentang Roma dengan satu tempat di perlawanan akhir Liga Persidangan Europa mungkin berdepan risiko.
The Foxes, yang mengejutkan dunia bola sepak dengan memenangi Liga Perdana pada 2016 di bawah kendalian Claudio Ranieri, musim lalu memenangi Piala FA buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Mereka bertandang ke Itali Khamis lalu dengan kedudukan 1-1 selepas perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu menentang anak buah Jose Mourinho.
Rodgers, yang pasukannya tercicir ke Liga Persidangan selepas gagal mara dari peringkat kumpulan Liga Europa, berkata kelmarin
dia berusaha untuk mewujudkan mentaliti kemenangan bagi kelab itu, yang bergelut dalam Liga Perdana musim ini.
“Ini adalah satu lagi bab dalam perjuangan kami. Objektif utama kami adalah untuk mengekalkan sejarah kelab ini, seperti yang kami lakukan dalam Piala FA. Kami mahu menjadi pemenang buat kali pertama,” tambah beliau.
Penjaga gol yang sudah lama berkhidmat, Kasper Schmeichel berjanji untuk mempamerkan aksi yang terbaik untuk pasukannya untuk menempah satu tempat di pusingan akhir Eropah pertama mereka.
Dia berkata: “Ia adalah trofi Eropah. Setiap satu trofi adalah penting, setiap pertandingan yang awda boleh menangi adalah penting.
Saya tidak bermain bola sepak untuk menduduki tempat ke-4, ke-5 atau ke-6.
“Ini tentang memenangi trofi. Itulah yang dilihat oleh peminat dan pemain, saat-saat awda perlu menjulang trofi,” ujarnya.
“Persiapan kelab memang untuk berjaya dalam pertandingan ini. Jika kami layak ke pusingan akhir, itu adalah kejayaan yang berterusan dalam satu tempoh masa dari segi pencapaian pusingan akhir dan trofi yang dimenangi,” tambahnya lagi. – AFP