Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lengkapi pendidik dengan kemahiran kaunseling

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Pendidikan bersama dengan Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) telah mengadakan Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022 (NICHE2022) dengan tema ‘Vaksin Ketuhanan Mendepani Ketidaktentuan’ yang dijadualkan berlangsung di tiga bilik kuliah KUPU SB, selama tiga hari.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, yang seterusnya merasmikan NICHE2022.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Penolong Pensyarah, Pusat Pengkajian Jawi dan Kitab Turath, KUPU SB, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak diikuti dengan Asma’ul Husna dan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Majlis tersebut diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh wakil pengerusi persidangan, Dr Haji Roslan bin Haji Untong, yang juga selaku dekan Fakulti Pendidikan, KUPU SB.

    Dr Haji Roslan dalam ucapannya berkata pendidikan berkualiti menjamin masa depan yang lebih baik dan mampan. Justeru beliau menekankan dalam mengharungi cabaran pendidikan abad ke-21, para guru perlu dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran tertentu termasuklah kemahiran bimbingan dan kaunseling.

    Antara yang hadir semasa NICHE2022 dengan tema ‘Vaksin Ketuhanan Mendepani Ketidaktentuan’ yang berlangsung selama tiga hari di tiga bilik kuliah KUPU SB.

    Beliau juga mengatakan konsep bimbingan dan kaunseling Islam adalah merupakan bimbingan dan nasihat yang dapat memainkan peranan dalam membina hubungan antara kaunselor dengan klien, mengenal potensi diri dan membuat keputusan yang betul berdasarkan Al-Quran dan Sunnah.

    Menurut beliau, matlamat kaunseling Islam adalah untuk membantu individu dalam membuat penyesuaian peribadi, sosial dan emosi agar individu tersebut dapat berfungsi dengan lebih baik di persekitarannya berdasarkan Islam.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil perakuan dan anugerah PERKAB oleh tetamu kehormat majlis kepada para pembentang Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022 dan seterusnya bacaan doa selamat.

    Sementara itu, persidangan sesi pagi dimulakan dengan pembentangan kertas perdana oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    Pembentangan selari diteruskan di Dewan Tarbiyah dan Dewan Taklim pada sebelah pagi dan petang.

    Pada hari yang sama, sebelah petang ucaptama dan bengkel disampaikan oleh Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang bertajuk ’Kaunseling Berasaskan SOP Ugama dan Vaksin’.

    Persidangan tersebut menyasarkan para pengamal kaunseling, pakar psikologi, pekerja sosial atau khidmat nasihat seluruh negara yang berkhidmat sebagai kaunselor atau pegawai kaunseling di jabatan-jabatan kerajaan. Juga guru bimbingan dan kaunseling di sekolah-sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

    NICHE2022 diharap dapat mengekalkan tahap kesedaran yang berpatutan, dan meningkatkan pengetahuan yang relevan iaitu dengan berkongsi maklumat profesional dan saintifik semasa yang berhubung kait dengan isu dan cabaran masa kini berteraskan ajaran Islam.

    Pada persidangan tersebut, sebanyak 20 kertas kerja akan disampaikan oleh ahli kaunselor dan penyelidik yang akan membicarakan tajuk mengenai dengan perkongsian pengalaman dan kajian-kajian kaunselor. Malahan kolokium yang akan disampaikan akan mengupas isu-isu dan cabaran perkhidmatan kaunseling berasaskan Islam di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...