Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Liputan hutan terus diperluaskan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MAC – Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) yang dilancarkan oleh kerajaan pada 2020 menggariskan strategi-strategi utama negara dalam menangani isu perubahan iklim.

    Strategi 2 dasar berkenaan menumpukan kepada liputan hutan dengan matlamat untuk meningkatkan sinki karbon Brunei dengan sasaran penanaman 500,000 pohon pokok baharu menjelang 2035.

    Sehingga kini, hampir 80,000 pohon pokok telah ditanam yang menunjukkan usaha giat memulihara dan mengembangkan liputan hutan kita bagi mengurangkan pelepasan karbon, mengekalkan biodiversiti dan mempromosikan pembangunan mampan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi Bersama Majlis Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei menekankan perkara itu semasa berucap pada Majlis Penanaman Pokok UOBAM Brunei di Taman Riadah Pentagon Park hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa acara penanaman pokok yang dilaksanakan berkenaan merupakan contoh nyata komitmen kita kepada strategi itu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama Pengurus Besar UOB Asset Management (Brunei), Awang Kamal bin Haji Muhammad semasa majlis penanaman pokok UOBAM Brunei di Taman Riadah, Pentagon Park, Berakas, kelmarin.

    Pokok menyediakan kita dengan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam bentuk biojisim, ulas Yang Berhormat Dato lagi, serta teduh bagi penyejukan, mempromosikan pemuliharaan tenaga dan peluang-peluang ekonomi.

    Negara Brunei Darussalam amat beruntung kerana dikurniakan hutan hujan yang subur di mana ia merupakan kediaman bagi sumber-sumber asli yang kaya yang dapat menyumbang kepada ekonomi kita.

    Oleh itu, pokok merupakan aset yang berharga dalam usaha menentang perubahan iklim di mana ia boleh menjana kredit karbon yang dapat menyediakan kita dengan sebuah insentif ekonomi untuk melabur secara bertanggungjawab dalam amalan-amalan pengurusan hutan mampan, tambahnya.

    Mengulas mengenai acara penanaman pokok berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan penghargaan atas inisiatif UOB Asset Management itu di mana komitmen mereka kepada pemuliharaan alam sekitar dan kemampanan harus diberikan pujian.

    Beliau menambah bahawa dengan memulihara dan mengembangkan lagi liputan hutan, kita sedang menyumbang kepada kebaikan keseluruhan bumi, negara kita dan generasi akan datang.

    Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu dan menyokong inisiatif serta usaha bagi menangani isu perubahan iklim dan mempromosikan kemampanan bagi Negara Brunei Darussalam berdaya tahan iklim dan rendah karbon.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...