Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Lombong emas jejas kesihatan masyarakat di Banat

    BANAT, SUDAN – Awadya Ahmed sudah lama tertanya-tanya mengapa anak bongsunya Talab dilahirkan buta dan tidak boleh berjalan, dan kini dia mengesyaki puncanya adalah timbunan sisa beracun yang ditinggalkan oleh para pelombong emas.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan, semakin ramai pelombong tradisional berpusu-pusu ke kampungnya dengan harapan untuk menjadi kaya.

    Tetapi mereka meninggalkan sisa serbuk putih berbahaya yang sarat dengan bahan kimia bertoksik termasuk merkuri yang digunakan dalam proses pengekstrakan emas.

    Sisa tersebut dibuang berhampiran tanah ladang, sumber air dan kawasan perumahan.

    “Empat abangnya dilahirkan dalam keadaan sihat, tetapi Talab adalah satu-satunya yang dilahirkan selepas sisa lombong merebak,” kata Ahmed, 45, kepada AFP di rumahnya di kampung Banat, di Sungai Nil di yang terletak di wilayah utara Khartoum.

    Talab yang berusia empat tahun, dilahirkan buta dan cacat, yang berpunca daripada timbunan besar sisa perlombongan emas yang ditinggalkan berhampiran rumahnya. – AFP
    Timbunan sisa serbuk putih beracun yang sarat dengan bahan kimia toksik termasuk merkuri digunakan dalam proses pengekstrakan emas ditinggalkan oleh para pelombong emas. – AFP
    Awad Ali berkata anak perempuannya adalah ‘kanak-kanak yang sangat normal’, sehingga dia berumur dua tahun dia tidak boleh bergerak, berjalan, berdiri mahupun duduk. – AFP
    Nafisa Ali Al-Awad mengalami kecatatan dipercayai berpunca daripada terdedah kepada sisa perlombongan emas. – AFP
    Sisa-sisa perlombongan emas bertimbun berhampiran ladang dan pertanian, di kampung Banat di negeri Sungai Nil, utara ibu negara Sudan Khartoum. – AFP

    Anaknya yang berusia empat tahun itu berbaring di sebelahnya, tidak mampu bergerak.

    Perlombongan emas secara tradisional berleluasa di Sudan, melibatkan lebih dua juta orang pelombong dan menghasilkan kira-kira 80 peratus daripada emas yang diekstrak di seluruh negara, menurut pakar.

    Sudan adalah salah sebuah negara termiskin di dunia, dan perlombongan kekal sebagai sumber keuntungan pantas yang menarik ramai orang.

    Industri ini berkembang pesat sejak Sudan Selatan yang kaya dengan minyak berpecah pada 2011 semasa pemerintahan presiden, Omar al-Bashir yang kini digulingkan, tempoh yang ditandai dengan kesukaran ekonomi, salah tadbir kerajaan, rasuah dan sekatan antarabangsa.

    Memudaratkan kesihatan

    Tetapi pencemaran kimia daripada pengekstrakan emas secara tradisional menimbulkan bahaya kesihatan yang jelas.

    Merkuri merosakkan sistem saraf, pencernaan dan imun serta boleh membawa maut. Ia juga mengancam perkembangan kanak-kanak dalam kandungan dan awal kehidupan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Talab adalah salah seorang daripada 8,000 penduduk Banat yang mengalami kecacatan kelahiran dan keguguran.

    Di sebuah rumah berdekatan, Awad Ali berkata anak perempuannya adalah ‘kanak-kanak yang sangat normal’, sehingga dia berumur dua tahun, “Kemudian dia tidak boleh bergerak, berjalan, berdiri mahupun duduk,” katanya.

    Pemimpin masyarakat Algaily Abdelaziz berkata masalah itu bermula lima tahun lalu.

    “Sejak pembuangan sisa, ramai kanak-kanak telah dilahirkan dengan kecacatan, dan ada yang keguguran,” kata Abdelaziz sambil menyatakan 22 kanak-kanak telah dilahirkan di kampung itu dengan kecacatan termasuk buta dan kerosakan otak.

    Saleh Ali Saleh, dari Fakulti Petroleum dan Mineral Universiti Neelain Khartoum, menyatakan bahawa merkuri berbahaya untuk kesihatan.

    Laporan pada Januari oleh Saleh dan penyelidik Sudan lain mendapati bahawa sekitar 450,000 tan sisa perlombongan penuh dengan merkuri meliputi landskap hijau subur wilayah Sungai Nil.

    Sampel darah, air kencing, air minum dan tanah dari beberapa bahagian di negeri ini telah menunjukkan paras merkuri yang tinggi, menurut laporan itu.

    “Terus terang, orang ramai tidak bimbang dengan pembuangan sisa itu,” kata Ali Mohammed Ali, ketua Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Sudan.

    Proses itu ‘memerlukan rawatan khas’ dan ‘sebaik-baiknya dilakukan jauh dari kawasan perumahan atau sumber air’, tambahnya.

    Langkah keselamatan sedemikian jauh dari fikiran pelombong. Sekitar 50 kilometer dari Banat, Mohammed Issa mencampurkan merkuri dengan pasir dalam mangkuk logam besar dengan tangan kosong, berharap dapat memisahkan emas daripada mineral lain.

    “Begitulah orang melakukannya di sini,” kata pemuda berusia 25 tahun itu.

    Issa berkata dia meninggalkan kehidupan bertani dan mengembala di negeri Kordofan Utara untuk mencari logam berharga itu.

    Bertahun-tahun untuk pulih

    Pada 2019, kerajaan peralihan Sudan yang kini digulingkan mengeluarkan dekri melarang penggunaan merkuri dan sianida selepas protes terhadap penggunaannya di lombong emas.

    Keputusan itu jarang dikuatkuasakan dan pelombong terus menggunakan bahan kimia itu di kawasan yang lebih terpencil, kata Saleh.

    Kemelut politik dan ekonomi di Sudan telah menimbulkan tekanan kepada isi rumah yang sudah bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

    Krisis ekonomi negara bertambah buruk selepas rampasan kuasa tentera pada Oktober lalu yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.

    Rampasan kuasa itu menyebabkan terputusnya bantuan antarabangsa yang penting ke negara itu dan menyebabkan kenaikan harga komoditi asas.

    Sudan adalah salah satu pengeluar emas terkemuka Afrika, menjana 30.3 tan emas pada separuh pertama 2021 sahaja, menurut angka rasmi yang tidak termasuk keluaran pelombongan emas secara tradisional.

    Bank Pusat menyatakan pendapatan emas Sudan pada suku pertama tahun ini pada AS$720 juta, mencerminkan pengeluaran rasmi.

    Syarikat milik kerajaan yang menyelia aktiviti perlombongan menolak beberapa permintaan untuk memberikan maklum balas kepada AFP. Perniagaan yang menguntungkan itu telah lama dikuasai oleh syarikat bayangan yang mempunyai hubungan dengan perkhidmatan keselamatan yang berkembang pesat di bawah Bashir.

    Saleh memberi amaran tidak akan ada penyelesaian segera. “Kerosakan yang telah berlaku kepada alam sekitar tidak dapat dirawat dengan mudah,” kata Saleh.

    “Jika kami berjaya berhenti hari ini, kami masih akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membendung kesan perlombongan tradisional,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...