Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Majlis berbedak gilang-gemilang

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, hari ini, telah berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja bagi Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.

    Majlis penuh gilang-gemilang serta penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.

    Istiadat menculiki bedak diraja didahului oleh Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kepada YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.

    Berangkat sama dan seterusnya berkenan menculiki bedak diraja, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Juga menculiki bedak diraja, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.

    Istiadat menculiki bedak diraja turut dilakukan oleh Puan Hajah Mariam binti Abdul Aziz, ayahanda dan bonda pengantin diraja lelaki, Awang Nabil Mahmoud Abdulkadir Al-Hashimi dan isteri.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Majlis Berbedak Pengantin Diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menculiki bedak diraja kepada YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menculiki bedak diraja kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menculiki bedak diraja.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah berkenan menculiki bedak diraja kepada pengantin diraja perempuan, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menculiki bedak diraja kepada pengantin diraja perempuan bersama Puan Hajah Mariam.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan menculiki bedak diraja kepada pengantin diraja lelaki.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berserta YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berserta YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berangkat ke majlis tersebut.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berserta YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah berkenan menculiki bedak diraja.
    ATAS & BAWAH: YAM Pengiran Muda Abdul Qawi berserta isteri YAM Tengku Amalin A’ishah Putri, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah berserta isteri Pengiran Elina Zuraidah, YAM Pengiran Abdul Mu’min, YAM Pengiran Muda Omar Ali, YAM Pengiran Anak Hajah Taiyibah Qalbul Bolqiah dan YAM Pengiran Anak Khaliilah Khalilatul Bolqiah serta YAM Pengiran Anak Naafi’ah Khairul Bulqiah hadir pada majlis tersebut.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah semasa berkenan berangkat ke majlis tersebut.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah semasa berangkat ke majlis tersebut.
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berkenan berangkat masuk ke Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman diiringi oleh YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah dan YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
    Pengantin diraja lelaki Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi diarak masuk.
    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan berangkat ke majlis berbedak berkenaan.

    Majlis dimulakan dengan keberangkatan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah ke Balai Singgahsana Indera Buana dengan diapit oleh YTM Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dengan didahului oleh 40 Sinipit yang dibawa oleh Awang-Awang diikuti oleh Juru Bini Hajah Rokiah dan dua orang hulubalang, hulubalang diraja membawa Pemuras dan Karga dan hulubalang asgar membawa Kelasak dan Kampilan, sebatang Dian Tunggal dibawa oleh Dayang-Dayang berjalan di hadapan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dengan diiringi oleh Yang Dimuliakan Pehin Manteri Bini Datin Paduka Hajah Aminah dan Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Bini Datin Paduka Hajah Siti.

    Kemudian diikuti oleh perhiasan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah yang dibawa oleh tiga orang Dayang-Dayang, seorang membawa payung, seorang membawa Kaskol dan seorang membawa kain pendukungan (berjalan di belakang YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah), isteri-isteri pembesar negara yang dititahkan, tujuh orang Pahawai Perempuan yang memegang satu Puan, satu Tarian, satu Kabok dan Panastan, satu Kiap, satu Chupu, satu Pasigupan dan satu Kaskol dan Dian 16 yang dibawa oleh 16 Dayang-Dayang serta alat-alat kebesaran diraja terdiri daripada 16 pedang dan perisai, 16 tumbak bendarangan dan lapan Kabok dan Panastan yang dibawa oleh Awang-Awang.

    Istiadat Berbedak Pengantin Diraja didahului dengan Dikir Syarafil Anam iaitu Dikir Marhaban dan sampai sahaja kepada perenggan ‘Ya Habibi’, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung menculiki bedak diraja kepada Yang Teramat Mulia dan sejurus itu diikuti oleh tembakan meriam sebanyak 17 das sebagai menandakan bermulanya istiadat. 

    Istiadat menculiki bedak diraja diikuti oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan kerabat diraja lain, termasuklah ibu bapa pengantin diraja lelaki.

    Setelah selesai Istiadat Berbedak Pengantin Diraja Perempuan, awang-awang membawa masuk teks Doa Selamat untuk dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah berangkat dari Balai Singgahsana Indera Buana dengan penuh adat istiadat sebelum majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja diteruskan bagi pengantin diraja lelaki, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan urutan adat istiadat yang sama.

    Acara itu didahului oleh Dikir Syarafil Anam (Dikir Marhaban) kemudian Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menculiki bedak diraja kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dengan diikuti kerabat diraja lain serta kedua ayahanda dan bonda pengantin diraja lelaki.

    Istiadat tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
    Selepas YAM Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris menyembahkan bahawa Istiadat Berbedak Pengantin Diraja telah sempurna dilaksanakan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan supaya majlis ditutup.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berserta kerabat diraja berangkat dari majlis diikuti oleh pembesar-pembesar negara serta para jemputan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...