Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Majlis undi calon penghulu, ketua kampung

    Oleh Mu’min Karim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seramai 230 orang daripada 246 orang yang berdaftar dan layak, telah mengundi bagi memilih calon Ketua Kampung Keriam semasa majlis pengundian dan pemilihan yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Keriam, hari ini.

    Hadir menyaksikan majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin selaku pengerusi majlis.

    Daripada jumlah pengundi berkenaan, seramai 48 orang telah mengundi menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK, lima orang menggunakan tablet dan 177 orang menggunakan kertas undi.

    Pengundian dan pemilihan berkenaan telah menyaksikan sebanyak 213 undi telah bersetuju, manakala itu 15 undi tidak bersetuju dan dua lagi dikategorikan sebagai undi rosak.

    Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampung Keriam ialah Pegawai Penyelidik di Jabatan Muzium-muzium, Haji Bahrin bin Haji Bolhassan berusia 53 tahun dan pada masa ini memangku jawatan ketua Kampung Keriam.

    Dalam pada itu, pengundian dan pemilihan calon Penghulu Mukim Keriam juga telah bermula hari ini menerusi aplikasi mudah alih e-Undi PMKK yang akan dibukakan sehingga 16 Oktober, pukul 2 petang.

    Pengundian menggunakan kertas undi bagi penduduk Kampung Sinaut, Kampung Sungai Kelugos, Kampung Kupang dan sekitarnya akan diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Latihan Penjara Maraburong pada 16 Oktober ini dari 8 pagi hingga 2 petang.

    Tiga orang calon bertanding bagi jawatan Penghulu Mukim Keriam iaitu Haji Awang Aji bin Haji Hamdan, 59, yang merupakan pesara guru; Haji Joharry bin Haji Abdul Karim, 58, yang pernah menjawat sebagai Penolong Pengarah Pengangkutan Darat sebelum bersara; dan Haji Muhammad Ayub bin Haji Suhaili, 52, yang pernah bertugas di Brunei LNG.

    ATAS & BAWAH: Penduduk kampung semasa membuat undian bagi calon Penghulu Mukim Keriam dan Ketua Kampung Keriam dengan menggunakan kertas undi. – Gambar oleh Lyna Mohammad

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...