Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Makmal Ibnu Sina UNISSA teroka inovasi, lahirkan penyelidik berkebolehan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Semasa Hafl At-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-12, baru-baru ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA telah memperkenankan penubuhan makmal saintifik dengan nama Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina UNISSA.

    Makmal berkenaan adalah salah satu prasarana Pusat Latihan Pertanian Sinaut, Jabatan Pertanian yang telah diserahkan kepada UNISSA dan dijadikan sebagai Kampus Sinaut UNISSA pada 15 Jun 2021.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, antara fungsi makmal tersebut adalah untuk penggunaan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional khususnya Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban (PPHT), UNISSA.

    Dengan tertubuhnya makmal saintifik tersebut, UNISSA berupaya memperluaskan lagi skop pengajaran dan penyelidikan dalam bidang pertanian dan bidang halal.

    Semasa memperkenankan penubuhan makmal berkenaan, Baginda Sultan juga telah menitahkan bahawa dengan penubuhan makmal tersebut akan membuka lebih banyak ruang penyelidikan dan meneroka inovasi terkini sekali gus menjadi satu pelaburan yang penting dalam melahirkan generasi penyelidik yang berkebolehan.

    Penubuhan Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina akan memperluaskan lagi skop pengajaran dan penyelidikan dalam bidang pertanian dan bidang halal di UNISSA. – Gambar serahan UNISSA

    Pemilihan nama Makmal Saintifik Ibnu Sina adalah berdasarkan aspirasi kepada sumbangan besar tokoh keilmuan Islam dalam bidang sains perubatan moden.

    Kenyataan menyatakan, UNISSA dalam perancangan jangka masa panjang akan memperluaskan lagi skop dan fungsi makmal seperti perlaksanaan makmal pengajaran, makmal nutrisi, makmal kultur tisu, makmal tanah, air, tanaman, persekitaran, dan baja, makmal DNA, makmal penyelidikan herba, makmal akuakultur, dan makmal analitikal halal.

    Antara aktiviti dan program yang dilaksanakan di Makmal Saintifik Ibnu Sina di bawah Fakulti Pertanian itu adalah program berkenaan dengan teknik-teknik tanaman, tuaian padi, pengubahsuaian tanah organik, kajian hidupan bakau yang telah dibentangkan semasa Mahrajan Hafl At-Takhruj UNISSA.

    Selain daripada itu, selaras dengan struktur program akademik bidang Sains halal pula, PPHT bermula pada sesi akademik Januari 2023 juga akan turut bergerak dan berusaha untuk melibatkan pelajar menjalankan kajian makmal berskala kecil menerusi analisis DNA haiwan terhadap sampel produk makanan, kosmetik dan farmaseutikal termasuklah kajian tentang peratus alkohol (ethanol) dalam sampel makanan dan minuman serta kajian identifikasi bulu dan kulit khinzir.

    Berdasarkan dapatan hasil-hasil kajian yang dilaksanakan di makmal itu dijangka akan dapat dijadikan satu sumber bahan maklumat dan rujukan khususnya kepada ahli akademik dan para pelajar serta masyarakat amnya sama ada diberigakan dalam bentuk seminar, konferensi, forum, penerbitan dalam bentuk bab buku, artikel, jurnal atau seumpamanya.

    Usaha seumpamanya diharap menjadi sumbangan ilmiah UNISSA dalam membantu kerajaan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pertanian dalam menjamin sekuriti makanan dan juga memelihara kehalalan produk makanan dan produk bukan makanan selaras dengan kehendak syarak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...