Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Makmal Veterinar dirasmikan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Makmal Veterinar yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Terunjing, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah dirasmikan dengan majlis Doa Selamat, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian Makmal Veterinar berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap di KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku pengarah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Tingkat 1, Haji Hanafiah bin Haji Mahmud dan diteruskan dengan acara perasmian oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyaksikan tayangan video yang memaparkan sejarah makmal veterinar, tujuan menaik taraf dan penerangan mengenai kemudahan makmal baharu. Beliau juga dibawa meninjau, menyaksikan serta diberikan penerangan mengenai kemudahan-kemudahan yang terdapat di makmal baharu berkenaan.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama kakitangan yang hadir semasa sesi bergambar ramai di luar bangunan makmal berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Makmal Veterinar.

    Bangunan Makmal Veterinar diselenggarakan di bawah Unit Perkhidmatan Makmal Veterinar (UPMV), Bahagian Industri Ternakan dan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

    UPMV berperanan melaksanakan program dokongan kawalan penyakit haiwan dan keselamatan makanan hasil ternakan termasuklah mengesan dan mengenal pasti penyakit haiwan atau ternakan sebagai usaha pengawalan dan pembasmian penyakit haiwan atau ternakan, melaksanakan penganalisisan ke atas makanan hasil ternakan bagi mengesan pencemaran patogen bawaan makanan, residu ubat-ubatan serta ujian kualiti fizikal bagi memantau kualiti hasil ternakan serta seterusnya mendukung program pemantauan makanan ternakan ke arah penghasilan ternakan yang berkualiti dan bermutu.

    UPMV merupakan satu-satunya makmal veterinar kebangsaan yang berperanan untuk mendukung dalam peningkatan keluaran industri ternakan dan ke arah pengiktirafan jabatan sebagai Competent Veterinary Authority (CVA).

    Beberapa langkah telah pun dilaksanakan oleh jabatan bagi merealisasikan pe-ranan tersebut antaranya mendapatkan pengiktirafan ISO/IEC 17025, menambah perkhidmatan skop ujian makmal yang berkepentingan dan memenuhi keperluan negara-negara import.

    Oleh yang demikian, pihak jabatan melalui peruntukan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 dengan tajuk Program Pusat Penyelidikan, Penganalisaan dan Rujukan Penyakit Haiwan di bawah Projek Pembangunan Industri Ternakan telah pun melaksanakan projek bagi menaik taraf makmal veterinar.

    Objektif menaik taraf makmal veterinar itu adalah bagi memenuhi garis panduan antarabangsa yang berkaitan dengan penganalisisan makmal termasuklah International Standard of ISO/IEC 17025 dan Standard Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

    Selain itu, ia juga bagi membolehkan makmal tersebut untuk mengendalikan penyakit haiwan zoonotik dengan selamat dengan pembinaan Makmal Biosafety Level 3 (BSL3).

    Faedah dan impak positif daripada pembinaan bangunan makmal baharu, UPMV akan dapat melaksanakan perancangan jabatan dalam memperbanyakkan lagi jenis-jenis ujian makmal yang berkepentingan sekali gus memenuhi keperluan negara-negara import.

    Selain daripada itu, bangunan berkenaan juga dapat mempersiap sediakan negara dalam menangani masalah kemungkinan penularan penyakit haiwan berjangkit.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...