Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Manfaatkan aset kerajaan, elak pembaziran

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Sempena Sambutan Tahun Baharu 2022 Masihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah meskipun agenda pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 berjalan dengan baik, namun masalah bangunan kerajaan yang dibiarkan dan tidak digunakan lagi mestilah ditangani secara holistik oleh pihak berkepentingan agar aset berkenaan dapat dimanfaatkan demi mengelak pembaziran.

    Di samping itu, titah Baginda, semua kementerian digalakkan untuk melaksanakan kaedah shared facilities supaya perbelanjaan dapat difokuskan kepada mencapai Wawasan Negara 2035.

    Selain itu, Baginda turut bertitah ne-gara juga sedang melaksanakan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang mana dengan sistem ini, permohonan bantuan kebajikan akan dapat dipercepatkan serta bantuan pula dapat ditentukan hanya untuk mereka yang benar-benar berhak sahaja.

    Terdahulu, Baginda bertitah mengingatkan supaya rakyat di negara ini jangan leka atau lupa apabila diberi kelonggaran serta terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerana jika leka, ia boleh mengundang padah terutama dengan kemunculan varian baharu Omicron yang tersebar hampir ke seluruh dunia sehingga menambahkan lagi kebimbangan global.

    Titah Baginda, selaku umat yang beriman tetap melihat perkara itu sebagai ketentuan Allah SWT dan sebagai usaha menghadapi wabak, negara telah melaksanakan program vaksinasi kebangsaan dengan lancar dan berjaya sehingga mampu membawa negara memasuki Fasa Endemik.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Tahun Baharu 2022 Masihi. – Gambar oleh Infofoto

    Menyentuh mengenai mempengerusikan ASEAN, walaupun dunia bergelut dengan wabak pandemik tapi pada tahun ini, negara telah berjaya melaksanakannya.

    “Warga ASEAN dilihat gembira kerana dapat meningkatkan usaha pembangunan komuniti ASEAN selain itu ASEAN juga sedang berusaha supaya warga belia dapat mewarisi rantau ini dengan pembangunan mampan di mana untuk itu, ASEAN telah menubuhkan ASEAN Junior Fellowship Program,” titah Baginda.

    Berbalik pada pencapaian negara, titah Baginda, negara telah dinobatkan mendapat kedudukan ke-21 dari 214 buah negara Government Effectiveness Index yang berpandukan kepada laporan Worldwide Governance Indicators 2021 keluaran Bank Dunia. Pencapaian ini setentunya memerlukan kerja keras yang lebih di kalangan semua pihak di negara ini.

    Dalam usaha memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, titah Baginda lagi, penyediaan sumber tenaga manusia yang marketable dan employable adalah sangat penting untuk diberi perhatian dan ini menunjukkan program-program pembelajaran sepanjang hayat adalah berkaitan.

    Berhubung dengan pendidikan, Baginda seterusnya bertitah Kementerian Pendidikan dengan kerjasama kementerian-kementerian yang berkenaan, telah membuat perancangan menyeluruh untuk meneruskan program persekolahan dalam Fasa Peralihan atau Fasa Endemik. Baginda bertitah berharap, ia akan dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang.

    Pada mengakhiri titah Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan beruniform yang lain termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta, sukarelawan, barisan hadapan di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksankan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2021.

    Baginda turut bertitah merakamkan penghargaan dan terima kasih yang sama kepada semua lapisan masyarakat yang sentiasa bekerjasama dalam memberikan sokongan kepada kerajaan Baginda, sama ada dalam menangani wabak mahupun dalam mendukung agenda pembangunan negara.

    Baginda turut merakamkan penghargaan kepada negara-negara sahabat dan pertubuhan antarabangsa atas kerjasama dan bantuan yang dihulurkan khusus semasa negara mengalami gelombang kedua pandemik.

    “Selamat Tahun Baharu 2022 Masihi kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini termasuk mereka yang berada di luar negara. Semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk semua,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...