Monday, May 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Marcos Jr ikrar basmi kemiskinan, kawal harga makanan

    MANILA, 25 JULAI – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr hari ini berikrar untuk membasmi kemiskinan, mengawal harga makanan yang meningkat dan merangsang tenaga diperbaharui, ketika beliau mendedahkan rangka tindakan bagi penggal enam tahunnya.

    Dalam ucapan negara pertamanya, Marcos Jr menawarkan senarai sasaran termasuk menyekolahkan semula kanak-kanak, mengurangkan beban hutang para petani dan meluaskan akses internet.

    Tidak seperti pemimpin sebelumnya, Rodrigo Duterte, yang sering tidak menggunakan skrip dan mengancam untuk membunuh orang, Marcos Jr mengikut ucapan yang disediakan secara sistematik dan lebih banyak menggunakan statistik.

    Selepas mewarisi masalah-masalah ekonomi yang dicetuskan oleh sekatan pergerakan COVID dan inflasi, presiden baharu ini menyatakan optimisme secara berhati-hati bagi masa depan – meskipun perang di Ukraine dan gangguan rangkaian bekalan mendorong tinggi harga makanan dan minyak.

    “Saya tidak ada niat untuk memperkecilkan risiko dan cabaran yang kita hadapi semasa waktu bergolak dalam sejarah global ini,” ujarnya kepada para hadirin yang terdiri daripada ahli perundangan, diplomat dan hakim-hakim.

    Ferdinand Marcos Jr (tengah) berdiri di samping Naib Presiden, Sara Duterte (kiri) selepas menyampaikan ucapannya di Dewan Perwakilan di Bandar Quezon, Manila pada 25 Julai. – AFP

    “Saya melihat harapan cerah menanti. Kami telah menghimpunkan intelek Filipina untuk menavigasi kita menghadapi waktu krisis global ini,” katanya.

    Marcos Jr, 64, yang merupakan anak lelaki dan memiliki nama sama dengan diktator terdahulu, bercakap selama 74 minit tanpa menyebutkan tentang hak asasi kemanusiaan, rasuah mahu pun rundingan damai dengan kumpulan pemberontak.

    Sebaliknya, beliau hanya menumpukan pada ekonomi, tenaga bersih, pertanian dan membantu warga miskin Filipina.

    Marcos Jr berikrar untuk mengurangkan lebih separuh kadar kemiskinan kepada digit tunggal pada akhir penggalnya dan menawarkan bantuan kewangan kepada banyak petani termasuk hutang pengampunan.

    Tenaga diperbaharui adalah ‘menjadi agenda iklim utama kita’, katanya, menegaskan ia adalah masanya untuk mempertimbangkan semula pembinaan loji tenaga nuklear di negara yang mudah terdedah pada bencana.

    Beliau juga menjamin untuk merangsang produktiviti pertanian dan menurunkan harga makanan.

    “Perkara ini tidak akan dapat dilakukan dalam masa sehari, satu bulan, atau satu tahun. Tetapi kami perlu memulakannya sekarang,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...