Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Cerminkan dunia dalaman melalui seni seramik

    CHINA – Kehidupan Liang Wanying berkisar tentang seramik, dua orang anaknya dan pertanian.

    Keperibadiannya yang terpelihara dan tidak suka terhadap penglibatan sosial telah menyebabkannya cenderung kepada kehidupan luar bandar dan membolehkannya menumpukan perhatian sepenuhnya pada ciptaan seni yang berkisarkan dunia dalamannya.

    Seniman dari wilayah Shaanxi di Barat Laut China itu, telah mengejutkan pengunjung dengan satu siri karya seramik surealis yang telah dipamerkan di muzium utama di China, United Kingdom dan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Dia telah berkongsi karya seramiknya melalui platform dalam talian seperti Xiaohongshu dan Bilibili, dan telah menarik ratusan ribu tontonan.

    Banyak karyanya mengandungi unsur-unsur yang diilhamkan oleh seni bina dan tumbuh-tumbuhan serta disokong oleh struktur yang menyerupai kaki kuda.

    Karya Liang bertajuk I Do Not Know I Am a Guest When I Dream dibuat pada tahun 2018. – ANN/The China Daily
    Liang membentuk tanah liat di studionya. – ANN/The China Daily

    “Saya mahu menunjukkan keinginan manusia untuk kebebasan dalam pertumbuhan melalui penggunaan tumbuhan dan kaki kuda, dan keperluan menyesuaikan diri dengan peraturan sosial melalui seni bina,” jelas Liang.

    Dia memastikan persembahan karyanya menyampaikan keadaan keseimbangan akhir.

    “Kebanyakan daripada karya ialah hasil daripada emosi dan perspektif saya terhadap dunia,” kata Liang, sambil menambah asal usul Cinanya telah memberikannya pengaruh besar pada proses itu.

    Karya terbaharunya tentang identiti peribadi di Muzium Shanghai Pearl Art menjelaskan interaksinya antara budaya Cina dan Barat.

    Karyanya, Transplant, pada mulanya memperlihatkan tentang tumbuh-tumbuhan yang tumbuh dalam persekitaran asing, tetapi ia sebenarnya mengenai penghijrahan dan perasaan manusia memasuki budaya yang tidak dikenali, katanya.

    Sebagai seorang warga Cina yang tinggal di kawasan luar bandar dengan bilangan penduduknya yang sedikit di AS, Liang telah mengubah pe- ngalaman peribadinya menjadi inspirasi kreatif.

    Ketika masih kecil Liang didedahkan dengan budaya tradisional rakyat Cina, kehebatan seni bina purba dan daya tarikan seramik di ibu kota wilayah Xi’an di Shaanxi.

    “Apabila saya berada di rumah, saya memerhatikan keluarga saya menyediakan upacara untuk meraikan perayaan tradisional Cina, dan mengikuti rutin Konfunsian dalam bersosial dengan saudara-mara kami,” katanya.

    Bangunan purba di bandar ini, seperti Bell Tower, Drum Tower dan Giant Wild Goose Pagoda, juga telah terukir dalam ingatannya.

    “Ia sentiasa ada apabila saya pergi membeli-belah dengan rakan-rakan saya atau berjalan-jalan dengan ibu saya selepas makan malam,” kata Liang.

    “Ia telah banyak mempengaruhi pemahaman saya tentang standard estetik dan menjadi sesuatu yang saya ingin kejar dalam karya saya, iaitu rasa berat, masa yang hebat, namun dengan kualiti keamanan dan keharmonian,” tambahnya.

    Unsur-unsur tersebut telah menyatakan dalam bentuk ruang separuh terbuka dan pagoda dalam karya Liang. Melakukan lawatan yang kerap ke Muzium Sejarah Shaanxi di bandar ini membolehkan Liang mendapat ukuran yang baik tentang keindahan seramik.

    “Saya berasa kagum bagaimana barang seramik boleh mengekalkan ciri-cirinya selepas beribu-ribu tahun,“ katanya.

    “Saya tertanya-tanya siapa yang membuatnya, dan dalam keadaan apa.”

    Idea karya seramiknya sendiri yang mungkin dihargai pada masa akan datang menyebabkan dia memilih seni seramik pada tahun 2008, semasa berada di tahun kedua di Central Academy of Fine Arts di Beijing.

    “Ia adalah pilihan berdasarkan fakta selepas meng-habiskan tahun pertama mengambil seni umum.”

    Pengalaman itu membuka matanya kepada dunia seramik, terutamanya tembikar moden, dan membolehkannya mendukung kemahiran seni dan mematangkan pemahaman tentangnya.

    Selepas tamat pengajian pada 2011, Liang meneruskan usaha seninya di Jingdezhen, ibu kota seramik yang terkenal di dunia di wilayah Jiangxi, China Timur.

    “Saya mahu meneroka lebih jauh tentang seni itu, jadi saya pergi ke sana untuk mendapatkan lebih banyak latihan dan inspirasi,” katanya.

    Di sana, dia berinteraksi dengan artis dari pelbagai bahagian dunia, sambil mendalami kehadiran seni seramik tradisional.

    “Saya menyedari betapa seni tradisional berkait rapat dengan kehidupan,” katanya.

    Selain itu, persekitaran semula jadi yang tersendiri dan makanan selatan agak berbeza dengan kampung halamannya di utara juga telah merangsang minatnya terhadap alam semula jadi.

    “Semuanya telah membuatkan saya sedar bahawa karya saya harus berdasarkan kehidupan dan manusia,” katanya.

    Selepas lima tahun bekerja dan tinggal di Jingdezhen, Liang mendapat tawaran dan biasiswa daripada Kolej Seramik New York State di Universiti Alfred.

    Ketika itulah Liang mengalami perbezaan antara tafsiran seni seramik Oriental dan Barat.

    “Di China, seramik berkait rapat dengan budaya dan sejarah, dan kami mempunyai rasa kagum terhadap seni seramik dan memberi lebih perhatian kepada warisan,” katanya.

    Tetapi di AS, tumpuan telah diberikan untuk melepaskan diri dari masa lalu, jelasnya. Pada tahun 2018, semasa belajar di Universiti Alfred, dia memanfaatkan rasa kekeliruannya dan mencipta karya, I Do Not Know I Am a Guest When I Dream.

    “Profesor meminta kami memilih perkataan untuk menggambarkan diri kami, dan saya menggunakan ‘orang asing’,” katanya.

    Kemudian, dia diilhamkan lagi oleh rakan sekelasnya dari Amerika, yang memberitahunya mereka semua adalah orang asing dalam beberapa cara.

    “Pada masa itu saya menyedari ia bukan sahaja pada tahap fizikal, tetapi juga rohani,” katanya.

    “Ketidakpastian hidup dalam persekitaran asing ini tidak selesa, tetapi ia juga mengandungi kemungkinan yang tidak dapat kita bayangkan.”

    Siri 2018 menampilkan manusia, haiwan, tumbuhan dan kapal, yang Liang katakan mewakili pemisahan dirinya daripada dirinya sendiri, yang merupakan mekanisme pertahanan psikologi biasa terhadap tekanan di dunia nyata.

    “Saya meletakkan kebimbangan, ketakutan, dan fakta yang tidak dapat saya terima dengan segera ke dalam ‘karya’ ini, dan mereka menyokong bebanan emosi saya dan cuba sedaya upaya untuk berdiri,” katanya.

    Dia menggantung arca lembut yang diperbuat daripada kertas putih dari siling, mengelilingi arca seramik berdiri berwarna putih.

    Apabila orang pergi ke ruang ini, kebanyakan mereka mengaitkannya dengan perkahwinan kerana upacara perkahwinan secara tradisinya berwarna putih di Barat.

    “Bagaimanapun, beberapa rakan Asia saya menghubungkannya dengan pengebumian.”

    Orang ramai akan memahami karya seni berdasarkan latar belakang mereka sendiri. Jadi, akan ada pemahaman yang berbeza tentang karya seni secara serentak.

    “Apabila orang daripada latar belakang yang berbeza berminat dengan arca berdiri putih di ruang kongsi ini, sejenis komunikasi akan mula dicapai,“ katanya.

    Robbie Heidinger, seorang artis tanah liat AS, menganggap karya Liang sebagai ‘sangat menakjubkan’. Profesor Liang, Matt Kelleher, berkata dia melihat pandangan yang berbeza dalam karya Liang.

    Liang berpuas hati dengan kehidupannya pada masa ini. Kepulangannya ke persekitaran luar bandar bersama suaminya telah membuatnya memperoleh pelbagai kemahiran hidup, seperti cara menanam sayur dan menternak ayam.

    Penyesalan terbesar Liang kini ialah perpisahan dengan keluarganya sejak dua tahun lalu, akibat pandemik COVID. Mereka hanya bergantung pada video dalam talian untuk berkomunikasi.

    “Ibu saya agak bimbang kerana saya tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa,” kata Liang.

    “Tetapi saya dapat merasakan dia memahami saya dan berasa lega kerana saya menikmati hidup tenang sekarang.”

    Sehingga kini, Liang telah berkongsi video ciptaan seramiknya dalam talian, yang telah mendapat lebih 700,000 tontonan. Liang berkata dia berasa dihargai dan diilhamkan oleh maklum balas pengikutnya.

    “Saya sangat kagum apabila seorang pengikut berusia 76 tahun mula mempelajari seni seramik selepas menonton video saya,” katanya.

    “Saya harap saya akan menjadi seperti dia, dan masih mempunyai keberanian untuk memulakan sesuatu pada masa akan datang.” – ANN/The China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...