Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Masjid terbesar Jerman laung azan kali pertama

    BERLIN, 13 OKT – Masjid terbesar di Jerman buat pertama kalinya akan melaungkan azan esok selepas pihak berkuasa perbandaran di Cologne memberi kebenaran untuk projek rintis, di bawah syarat yang ketat.

    Masjid Pusat Cologne, sebuah bangunan megah di daerah Ehrenfeld di bandar bahagian barat, akan dibenarkan melaungkan satu azan melalui pembesar suara selama lima minit esok, antara tengah hari dan 3 petang.

    Persetujuan itu, yang merupakan sebahagian daripada perjanjian projek rintis selama dua tahun, akan ditandatangani secara rasmi oleh pegawai Cologne pada hari ini.

    Masjid di beberapa bandar di Jerman telah lama diberi kuasa untuk menyiarkan azan, tetapi bandar Cologne hanya meluluskannya mulai Oktober lalu.

    Di negara-negara majoriti Islam, muazin menyeru orang beriman untuk solat lima waktu sehari.

    “Kami sangat gembira,” kata Abdurrahman Atasoy, setiausaha agung pertubuhan Ditib Turki-Islam yang mengendalikan masjid tersebut, kepada media tempatan.

    Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata, membenarkan azan adalah sebagai “tanda penghormatan” kepada umat Islam di bandar tersebut.

    Tetapi projek tersebut bukan tanpa kontroversi, terutamanya kerana penglibatan Ditib, yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan menguruskan lebih 900 masjid di Jerman.

    Pengkritik menuduh pertubuhan tersebut mengintip penentang Turki yang tinggal di Jerman.

    Erdogan sendiri pergi ke Cologne pada 2018 untuk merasmikan Masjid Pusat, mencetuskan perhimpunan saingan oleh beribu-ribu penunjuk perasaan pro dan anti-kerajaan.

    Masjid Pusat, sebuah kaca besar dan struktur konkrit yang direka seperti bentuk putik bunga yang diapit oleh dua menara, mempunyai ruang yang mampu memuatkan kira-kira 1,200 jemaah. – AFP

    Masjid Pusat Cologne akan melaungkan azan buat kali pertama selepas diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa perbandaran Cologne sebagai projek rintis selama dua tahun. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...