Monday, May 6, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    MBSP perkukuh hubungan pertahanan Brunei-UK

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pertahanan United Kingdom (UK) telah mengadakan Mesyuarat Bersama Suruhanjaya Pertahanan (MBSP) ke-16, di Bangunan Utama, Kementerian Pertahanan, London, UK, baru-baru ini.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Dasar, Kewangan dan Pentadbiran) di Kementerian Pertahanan, Kolonel (B) Norsuriati binti Haji Sharbini, dan Ketua Indo-Asia Pasifik, Kementerian Pertahanan UK, Jonathan Knight.

    Ia turut dihadiri oleh pegawai-pegawai pertahanan dan angkatan tentera dari kedua-dua buah negara.

    Semasa mesyuarat tersebut, kedua-dua belah pihak telah mengesahkan hubungan pertahanan yang erat dan lama terjalin.

    Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga menzahirkan rasa sukacita terhadap interaksi pertahanan dan ketenteraan yang masih aktif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun dengan wujudnya beberapa cabaran yang timbul akibat penularan wabak COVID.

    Gambar ramai semasa Mesyuarat Bersama Suruhanjaya Pertahanan ke-16, di Bangunan Utama, Kementerian Pertahanan, London, UK, baru-baru ini. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    MBSP tersebut membincangkan kerjasama pertahanan antara Brunei Darussalam dan UK bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala di samping bertukar-tukar pandangan mengenai aspek-aspek yang berkepentingan bersama kedua-dua buah negara.

    Ia mencerminkan komitmen yang teguh daripada kedua-dua belah pihak terhadap keseluruhan hubungan pertahanan dan kepentingannya kepada keamanan dan keselamatan di rantau dan antarabangsa.

    Hubungan pertahanan antara kedua-dua belah negara telah diperkukuhkan lagi dengan beberapa perjanjian pertahanan, di samping mengadakan pelbagai interaksi yang merangkumi pertukaran lawatan, latihan ketenteraan bersama, kursus dan mesyuarat.

    MBSP antara Brunei Darussalam dan UK pertama kali diadakan pada Disember 2002 dan kali terakhir pada 27 September 2018 di Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...