Sunday, May 19, 2024
33 C
Brunei

    -

    Program EYAA dedah cabaran, pengalaman berharga

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Menyertai program eMpowering Youth Across ASEAN (EYAA) merupakan satu peluang berharga yang sudah pasti tidak mudah untuk dilupakan oleh Awang Abdul Hadi bin Haji Abdullah yang melalui pelbagai cabaran sekaligus meninggalkan pengalaman manis bagi beliau semasa menyertai program berkenaan di salah sebuah negara ASEAN.

    Program EYAA, merupakan program yang dilaksanakan oleh ASEAN Foundation dengan kerjasama Yayasan Maybank sebagai satu inisiatif yang bertujuan untuk melebarkan semangat sukarelawan belia untuk memimpin perubahan yang bermakna di rantau ini.

    Rentetan itu, program ini mula dilancarkan pada 2018, ia melibatkan golongan belia yang berbakat dalam lingkungan usia 19 hingga 35 tahun dari 10 buah negara ASEAN untuk membangunkan dan melaksanakan projek komuniti yang akan memberikan kesan sosial dan ekonomi jangka panjang yang ketara di lokasi komuniti yang dipilih.

    “Program yang saya ikuti ini merupakan program pertama dan julung kalinya dianjurkan oleh kedua-dua pihak. Pada tahun 2018 sahaja, seramai 100 orang ahli ASEAN yang terdiri daripada 10 orang peserta dari setiap negara ASEAN telah dipilih untuk mengikuti program tersebut,” kongsi Awang Abdul Hadi.

    “Malaysia, Indonesia dan Kemboja adalah tiga buah negara yang dipilih untuk menjalankan projek ini dengan tiga tema utama iaitu pendidikan, budaya dan sosial, dan ekonomi,” tambahnya.

    Awang Abdul Hadi bersama ahli kumpulannya, EduSpark yang ditempatkan di Battambang, Kemboja untuk menjalankan projek.
    Antara kegiatan yang dijalankan di Battambang, Kemboja.
    Awang Abdul Hadi bersama penduduk setempat yang terlibat dalam projek berkenaan.

    Pusat Belia yang didirikan semasa projek tersebut.

    “Belia ASEAN yang ditempatkan di negara-negara tersebut akan berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang juga dipilih, untuk berkolaborasi dalam menjalankan projek tersebut.

    “Saya telah dipilih untuk mengikuti projek di Battambang, Kemboja, untuk membantu warga di sana, dengan bimbingan NGO setempat iaitu KHEN – Khmer NGO for Education, dari segi pendidikan,” jelasnya lagi.

    Antara yang telah dilaksanakan dalam menyalurkan khidmat bantuan dari segi pendidikan ialah mendirikan bangunan khas pusat belia bagi Battambang, Kemboja dengan tujuan untuk menggalakkan masyarakat khususnya para belia untuk terdedah kepada kepentingan pendidikan terutamanya dari sudut teknologi maklumat (IT).

    Di samping itu, mereka juga turut memberikan khidmat latihan dan seminar kepada tenaga-tenaga pengajar yang ditugaskan di sekolah-sekolah pedalaman selain mengadakan jerayawara di satu-satunya universiti di bandar tersebut iaitu National Univerisity of Battambang, mengenai kepentingan dan kesedaran sukarelawan, yang menumpukan kepada mahasiswa-mahasiswi universiti tersebut.

    Awang Abdul Hadi turut mengongsikan beberapa pengalaman berharga semasa berada di Battambang, Kemboja.

    “Terdapat perbezaan bahasa yang digunakan oleh penduduk setempat di mana kami hanya boleh berkomunikasi melalui penterjemah sahaja yang mengakibatkan kami tidak dapat berkomunikasi secara berkesan terhadap apa yang kami sampaikan melalui penterjemah,” jelasnya.

    “Memandangkan majoriti penduduk di sana bukan beragama Islam, kami terpaksa hati-hati dan pada masa yang sama harus menjaga hati penduduk kampung berkenaan apabila disediakan hidangan.

    “Oleh sebab kami melakukan kerja-kerja sukarelawan di kampung pedalaman yang berhampiran sempadan dengan Thailand, periuk api di kawasan tersebut masih aktif, meskipun kerajaan setempat masih berusaha untuk menghapuskannya,” tambahnya.

    “Pada masa yang sama kami turut kesukaran dalam mencari arah kiblat bagi kami menunaikan solat,” jelas Abdul Hadi lagi menceritakan cabaran yang dihadapinya di sana.

    Beliau juga menceritakan mengenai kenangan manis beliau sepanjang mengikuti program tersebut yang antaranya dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan perubahan dari segi pendidikan.

    Lantaran itu, menurutnya ia merupakan satu kenangan manis apabila dapat berinteraksi sendiri dengan mahasiswa dan mahasiswi di sana dengan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka terhadap isu pendidikan di negara mereka.

    “Di samping itu, dengan menyertai program tersebut ia dapat menambah pengalaman dan pengetahuan mereka dalam pelbagai urusan negara untuk melaksanakan projek-projek sukarelawan,” terangnya lagi kepada pihak Media Permata.

    “Saya berasa bersyukur dan bertuah tinggal di negara ini di mana kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan berbanding di luar sana di mana kebanyakan rakyat mengharapkan bantuan NGO untuk membina sekolah dan infrastruktur pendidikan khususnya di kawasan pedalaman dan terpencil,” ujarnya.

    “Dari segi keselamatan pula, saya sangat bersyukur Negara Brunei Darussalam berada dalam keadaan aman damai tanpa sebarang ancaman, berbanding di sana, di mana periuk api diletakkan di merata tempat, bahkan ramai remaja yang kudung kaki akibat daripada kerja-kerja pembersihan periuk api aktif yang jumlahnya adalah bukan sedikit, seterusnya menjejaskan kehidupan mereka sehari-hari kerana tidak lagi dapat bekerja secara normal, dan ada yang bergantung hidup dengan berjual cenderahati kepada pelancong yang mengunjungi tempat berkenaan”, tambah Awang Abdul Hadi lagi.

    Pelbagai impak positif yang dapat diperoleh bagi para remaja dan kanak-kanak setempat menerusi projek berkenaan termasuklah dapat menikmati program pendidikan yang telah dinaik taraf dan juga pembinaan bangunan pusat belia, walaupun bangunan tersebut berukuran kecil, namun ruangan IT turut disediakan untuk masyarakat setempat terdedah kepada teknologi yang terkini.

    “Saya berharap dapat meningkatkan keupayaan diri dari segi pengurusan dan perancangan kerana program ini merupakan anjuran ASEAN. Selain itu, saya juga berharap dapat menambah pengetahuan dan kemahiran yang sudah setentunya sangat signifikan di dunia kerjaya profesional,” ujarnya dengan penuh harapan.

    “Saya juga ingin menasihatkan para belia di luar sana agar tidak menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung,’ sebaliknya mereka harus menggarap peluang yang ada di luar atau dalam negara di mana program yang seumpama ini dapat membuka mata dan meningkatkan kemahiran diri sebagai pelapis yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...