Menteri kesihatan Komanwel capai konsensus pelan pemulihan COVID

KUALA LUMPUR, 20 MEI – Menteri kesihatan dari negara-negara Komanwel sepakat untuk bekerjasama dalam beberapa isu utama berkaitan usaha pemulihan pasca COVID-19, termasuk dalam ekuiti vaksin, membina sistem kesihatan yang berdaya tahan dan memperkukuh keselamatan kesihatan dengan memanfaatkan teknologi digital.

Komitmen itu dibuat selepas mesyuarat tahunan peringkat tinggi secara maya selama dua hari yang berakhir Khamis.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Jamaica, Dr Christopher Tuftonitu menerima pakai kenyataan bersama yang menggariskan perkara utama dalam menangani cabaran kesihatan yang kompleks hari ini akibat pandemik.

“Kenyataan bersama itu menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam memperkukuhkan keselamatan kesihatan, ekuiti vaksin, dan meningkatkan pelaburan dalam kesihatan bagi mengukuhkan daya tahan sistem kesihatan dan memajukan matlamat Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC),” kata satu kenyataan daripada Sekretariat Komanwel kepada Bernama.

Melalui mesyuarat itu, para menteri juga mengiktiraf keperluan mendesak untuk mempertingkat dan mempercepatkan ekuiti dan kebolehcapaian vaksinasi COVID-19 serta bersetuju untuk bekerjasama bagi memajukan matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memvaksin 70 peratus penduduk di setiap negara pada pertengahan 2022.

Para menteri juga mengemukakan satu set syor utama untuk perbincangan pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel ke-26 (CHOGM) 2022 yang akan berlangsung pada 20-26 Jun di Kigali, Republik Rwanda.

Syor itu menggesa para pemimpin untuk mengulangi komitmen mereka ke arah membanteras kes malaria sama ada separuh kes dan / atau kematian menjelang akhir 2023, dan dapat menghapuskan wabak malaria menjelang 2030, selaras dengan komitmen global dan serantau.

Kenyataan itu berkata bahawa Sidang Kemuncak Kigali mengenai Malaria dan Penyakit Tropika Terabai akan berlangsung pada 23 Jun di luar CHOGM.

CHOGM 2022 berhasrat untuk mengubah seluruh Komanwel menjadi masyarakat yang ditunjangi oleh nilai-nilai bersama seperti demokrasi, multilateralisme dan pembangunan mampan. – Bernama