Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    MoU teroka inisiatif rapatkan jurang digital

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Dalam usaha merapatkan jurang digital di negara ini, imagine Sdn Bhd dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada majlis yang berlangsung di Perpustakaan UBD hari ini.

    MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju manakala menandatangani bagi pihak UBD ialah Pengarah Pejabat Penolong Naib Canselor (Inovasi dan Perusahaan), Pengiran Dr Emeroylariffion bin Pengiran Abas.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir ialah para pegawai kanan dari kementerian, imagine dan UBD.

    MoU merupakan inisiatif pertama untuk merapatkan jurang digital di negara ini melalui penyelidikan bagi memahami keperluan digital isi rumah berpendapatan rendah dan individu dalam langkah menjadi negara pintar, sejajar wawasan 2035.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut hadir menyaksikan majlis penandatanganan MoU berkenaan.

    Penyelidikan bertemakan ‘Memahami Keterangkuman Digital di Brunei Darussalam’ akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan, dengan pasukan penyelidik UBD akan menjalankan tinjauan dan temu bual dalam kalangan penerima kebajikan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) serta Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Hasil penyelidikan ini akan menyediakan asas yang diperlukan untuk imagine menyusun produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan dan jangkaan mereka yang berada di bawah demografi ini.

    MoU itu juga berfungsi sebagai rangka kerja bagi kedua-dua institusi untuk bekerjasama dan memulakan hubungan kerja dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.

    Dayang Suzannawati dalam ucapannya pada majlis MoU itu, menekankan bahawa jurang digital global menjadi lebih ketara semasa pandemik, dengan kumpulan berpendapatan rendah merentas ekonomi berbeza, termasuk di negara ini yang bergelut untuk bertahan dan mengekalkan kualiti hidup yang boleh dipertingkatkan melalui sambungan jalur lebar dan mudah alih yang berpatutan dan lebih mudah diakses serta peranti.

    “Dengan peranan penting yang dimainkan oleh teknologi dalam kehidupan seharian kita, kami percaya bahawa ketersambungan dan peranti mampu milik akan menjadi hak asasi manusia seterusnya kerana ia membawa potensi untuk meningkatkan individu daripada kekangan kewangan.

    “Penyelidikan ini adalah tentang memahami keperluan kumpulan berpendapatan rendah Brunei, tetapi apabila kami meneroka lebih mendalam maksud inisiatif ini, kami melihat ia sebagai permulaan untuk memastikan semua rakyat Brunei tanpa mengira status kewangan boleh meraih manfaat daripada teknologi abad ke-21.

    “Hasil daripada kajian ini berpotensi mengecilkan jurang digital dan memberikan akses yang sama kepada pendidikan dan peluang sambil mewujudkan pariti antara demografi dan kelas sosial yang berbeza.

    Apa yang kami sasarkan untuk dicapai melalui kerjasama ini ialah pembangunan portfolio data dan produk serta perkhidmatan peranti yang bukan sahaja boleh diakses dan
    mampu milik tetapi yang lebih penting, kami ingin memastikan tawaran kami mampan untuk masa depan semua pelanggan kami sama ada untuk rumah, di tempat kerja atau dalam perjalanan tanpa mengira keadaan sosial,” jelasnya.

    Sebagai masyarakat Brunei yang aktif dengan matlamat untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh golongan yang tercabar dari segi kewangan, imagine giat mencari cara untuk membekalkan data, kad sim dan peranti terutamanya untuk pelajar semasa gelombang pertama dan kedua COVID-19 di Brunei di bawah ‘pendidikan’, ‘wanita dan kanak-kanak’ dan tonggak CSR ‘kurang bernasib baik’.

    Antaranya ialah bekerjasama dengan penggiat industri telekomunikasi Brunei melalui sumbangan sumber manusia dan kewangan bagi agenda pendidikan.

    Menurut Dayang Suzanna lagi, selain daripada memahami keperluan data kumpulan sasaran penyelidikan, kajian ini juga akan menilai kebolehcapaian peranti dalam kalangan ahli isi rumah.

    Selain itu, kajian ini juga akan menentukan celik kewangan digital responden seperti pengetahuan perbankan Internet yang hasilnya boleh dikongsi dengan pihak berkepenti-ngan yang berkaitan untuk menentukan intervensi celik kewangan digital.

    Selain daripada penyelidikan kolaboratif, MoU itu juga akan memberi tumpuan kepada projek CSR bersama seperti Pusat Tuisyen Komuniti UBD-Imagine, yang bermula tahun lepas yang berubah kepada pembelajaran jarak jauh akibat wabak COVID-19. 

    Tambahan lagi, MoU itu juga akan mewujudkan peluang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua entiti; termasuk latihan industri, lawatan sambil belajar dan latihan, serta penglibatan industri.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...