Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    M’sia, Kemboja temui cara tingkatkan perdagangan dua hala

    PHNOM PENH, 24 FEB – Meningkatkan eksport minyak sawit ke Kemboja dan import beras dari negara itu ke Malaysia dilihat sebagai antara cara-cara yang boleh meningkatkan perdagangan dua hala kedua-dua negara.

    Ini selain daripada memperluaskan kolaborasi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi kewangan, keselamatan siber, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan pemula niaga (startups).

    “Saya akui bahawa perdagangan dua hala antara kita masih rendah dan perlu ditingkatkan lagi, selaras dengan potensi kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Ini termasuklah perdagangan dalam sektor perladangan dan komoditi. Malaysia menawarkan minyak sawit dan produk minyak sawit berkualiti tinggi kepada Kemboja dan saya amat  berharap agar perdagangan kita dalam produk ini dapat dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen di Peace Palace di sini, hari ini.

    Sementara itu, Hun Sen pula mencadangkan Malaysia mengimport lebih banyak beras dari negara itu selain turut mempelawa pelabur Malaysia untuk melabur dalam pengilangan beras.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) ketika sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen di Peace Palace. -Bernama

    “Saya dan Perdana Menteri Hun Sen sependapat agar komuniti perniagaan meneroka sektor-sektor ini bagi m-ningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

    Selain itu, Perdana Menteri yang gembira mendengar perkembangan kerjasama dalam sektor halal yang begitu memberangsangkan turut berkata Malaysia akan terus membantu Kemboja untuk membangunkan ekosistem halal di negara ini.

    Katanya, Malaysia mempunyai pakar-pakar industri halal yang terbaik dan mengalu-alukan lebih banyak lagi perniagaan di Kemboja untuk datang ke Malaysia dan memperkasakan kemahiran mereka dalam pembangunan industri halal.

    Di samping itu, Perdana Menteri juga berkata kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan dengan serius berkenaan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia dan keputusan mengenainya akan dimaklumkan dalam masa terdekat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...