Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    MTIC: KPI 2021 capai 35.29 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah mencatat beberapa pencapaian dalam perkembangan dan kemajuan dari segi dasar, projek-projek pengangkutan dan infokomunikasi.

    “Terdapat 34 petunjuk prestasi utama (KPI) di bawah enam strategi teras dalam MTIC2025 di mana bagi tahun pertama pelaksanaannya iaitu pada penghujung 2021, ia telah pun menghasilkan pencapaian sebanyak 35.29 peratus secara menyeluruh,” kata Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

    Semasa sesi perjumpaan muhibah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersama MTIC yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Amar Pahlawan, Bangunan MTIC, hari ini, beliau berkata pihak MTIC juga secara teratur menyejajarkan inisiatif-inisiatif strategik yang terkandung di dalamnya kepada usaha-usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seperti Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), Dasar Belia Negara dan lainnya bagi sama-sama menuju ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan beberapa pencapaian utama MTIC untuk 2021 di mana antaranya ialah inisiatif bagi perkongsian garis panduan maklumat asas mengenai kenderaan, Understanding Your Vehicle, bagi memupuk kesedaran kepentingan pemeliharaan atau penyelenggaraan mengikut piawaian yang diluluskan dan seterusnya mendukung kepentingan keselamatan jalan raya di negara ini secara amnya serta bagi sektor infokomunikasi pula, satu projek rintis bagi mempromosikan dan menjana kesedaran serta ke arah peralihan kepada penggunaan 5G pada masa hadapan telah pun diadakan.

    “Ini adalah bagi mempromosikan dan menjana kesedaran mengenai penggunaan 5G pada masa depan,” jelas beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi perjumpaan muhibah antara ahli MMN bersama MTIC yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Amar Pahlawan, Bangunan MTIC.

    Sementara itu, dalam aspek penyelidikan, Yang Berhormat Dato berkata bahawa satu badan telah ditubuhkan iaitu Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains, CREATES, bagi menggantikan Majlis Penyelidikan Brunei dan Jawatankuasa Kerja Kebangsaan Sains dan Teknologi di mana ia adalah sebagai langkah memacu aktiviti penyelidikan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi di negara ini.

    Melalui CREATES itu, beliau menyatakan satu projek penyelidikan dalam membantu menangani dan membendung COVID-19 telah diperkenankan untuk dilaksanakan dengan kerjasama pihak Universiti Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan, Singapore Duke-NUS Medical School dan Evyd Technology.

    Aplikasi mudah alih TransportBN turut dikemaskinikan sebagai salah satu kaedah pemudahcara dalam penyediaan perkhidmatan bagi orang awam untuk bagi permohonan lesen kenderaan dan lesen memandu dalam bentuk digital, di samping kaedah yang sedia ada.

    Yang Berhormat Dato berkata tidak dinafikan semasa penularan COVID-19, kebanyakan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai terjejas dan menimbulkan banyak isu serta cabaran.

    “Terutamanya adalah berkaitan dengan pemberian perkhidmatan bagi permohonan lesen memandu serta lesen kenderaan semasa pihak kerajaan melaksanakan Business Continuity Plan (BCP) masing-masing.

    Tenaga kerja dan waktu perkhidmatan menjadi terhad yang mana ia telah mengakibatkan backlog terhadap pengeluaran lesen-lesen memandu dan kenderaan.”

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya mendedahkan bahawa sebagai gambaran, permohonan atas talian bagi urusan lesen memandu dan lesen kenderaan pada 2019 adalah sebanyak 10,046.

    Permohonan telah meningkat sehingga 33,326 pada 2020 dan seterusnya mencapai 124,281 pada 2021 di mana daripada perangkaan itu, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 373 peratus dari 2019 hingga 2021.

    Bagi menangani peningkatan permohonan berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan beberapa usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Darat dengan kerjasama pihak agensi-agensi yang berkenaan termasuk menaiktarafkan aplikasi TransportBN dengan memperkenalkan penambahan pemberian perkhidmatan-perkhidmatan JPD seperti permohonan bagi lesen memandu dan lesen kenderaan, permohonan bagi nombor plat lesen kenderaan (Nomborku) dan mengadakan ciri lesen memandu dan kenderaan digital.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib juga mendedahkan pertambahan kapasiti Talian Darussalam 123 (TD 123) dari 62 ke 91 bagi menangani jumlah permohonan lesen memandu dan lesen kenderaan yang meningkat sekitar 110 hingga 170 peratus sebulan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...