Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Nahas dua buah kereta, ragut nyawa warga emas

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    BELAIT, 7 JAN – Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta yang berlaku di kawasan pusingan U, Lebuh raya Lumut KM 84.1, Daerah Belait semalam.

    Mangsa yang juga pemandu sebuah kereta terbabit dalam nahas itu telah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, tangan dan belakang badan.

    Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengesahkan menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 7:30 malam.

    Menurut kenyataan PPDB, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dan seorang pemandu didapati tidak sedarkan diri akibat daripada rempuhan kemalangan tersebut.

    Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang turut hadir di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaannya.

    Sejurus selepas itu, kesemua mangsa segera dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dengan bantuan pihak ambulans. Sementara itu, mangsa-mangsa kemalangan yang lain adalah dalam keadaan stabil.

    Kenyataan menyatakan, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian.

    Di kesempatan ini, PPDB menegaskan kepada orang ramai terutama para pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, menitikberatkan aspek keselamatan yang melibatkan kawalan had laju, pemakaian tali pinggang keselamatan, sentiasa peka dan bertolak ansur lebih-lebih lagi memandu pada waktu malam.

    Orang ramai juga diingatkan supaya tidak memandu dalam keadaan dipengaruhi dengan ubat-ubatan atau sebagainya kerana boleh mendatangkan mengantuk dan kelalaian yang boleh sahaja mengakibatkan kemalangan.

    Salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan pusingan U, Lebuh raya Lumut, Daerah Belait, semalam.
    Kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di kawasan pusingan U, Lebuhraya Lumut KM 84.1, Daerah Belait baru-baru ini.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...