Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Nasib pencuri treler diketahui hari ini

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Nasib tiga lelaki tempatan bakal diketahui pada 7 Julai, selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret kelmarin atas tuduhan melesapkan dua buah treler platform dari Jalan Meragang, Kampung Kapok.

    Mulkan @ Abdul Quddus bin Haji Mohamed Deli, 43, Mohamad Ishak bin Hamdani, 35, dan Sainrin bin Haji Hassan, 52, diperintahkan untuk menjalani tahanan reman sementara menunggu hukuman dijatuhkan.

    Fakta kes Pendakwa Raya Sabrina Haji Mahmud mendedahkan bahawa pada Mei lalu, Mulkan sebelum ini telah menunda kereta lama individu lain ke satu kawasan sekitar Jalan Meragang, Kampung Kapok. Kemudian ketiga-tiga mereka membuka bahagian-bahagian kereta untuk dijual.

    Semasa membuka bahagian kereta, mereka ternampak treler dan membuat rancangan untuk menjualnya.

    Mohamad Ishak seterusnya menghubungi pengurus sebuah kawasan simpanan sekerap dan menawarkan untuk menjual barangan tersebut, mendakwa ia milik arwah bapanya.

    Mereka juga memberikan lokasi treler itu disimpan. Pada hari yang sama, Sainrin menghantar gambar treler tersebut kepada pengurus berkenaan.

    Semasa pengurus berkenaan melawat lokasi itu, dia menyedari bahawa treler yang ditawarkan kepadanya sebenarnya milik bekas rakan niaganya.

    Dia segera berjumpa bekas rakan niaga dan anak lelakinya untuk memaklumkan perkara tersebut yang mana mereka menafikan mahu menjualnya.

    Pada 29 Mei, anak lelaki rakan kongsinya pergi meninjau tapak di tanah milik keluarga mereka, dan menyedari dua treler sepanjang 20 kaki 40 kaki telah hilang.

    Laporan polis telah dibuat yang membawa kepada penahanan ketiga-tiga defendan.

    Treler sepanjang 20 kaki itu dianggarkan berharga $43,000 dan treler sepanjang 40 kaki dianggarkan berharga $50,000.

    Ketiga-tiga defendan mera-yu mahkamah meringankan hukuman, meminta agar dikenakan hukuman denda dan bukannya hukuman penjara.

    Pendakwa Raya Sabrina mengemukakan kepada mahkamah bahawa hukuman penjara adalah wajar bagi defendan yang tidak menghormati harta benda orang lain dan memandangkan mangsa akan mengalami kerugian yang besar.

    Sementara itu, Salina binti Uni, 38, yang didakwa bersama ketiga-tiga mereka, telah menafi terlibat dalam kes itu. Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengendalikan kes tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...