Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Nelayan kecewa tikam puluhan penyu

    TOKYO, 19 JULAI – Seorang nelayan yang kecewa telah mengaku menikam puluhan penyu laut yang dilindungi hingga mati di sebuah pulau selatan Jepun selepas haiwan itu terperangkap dalam pukat ikannya, kata pegawai tempatan.

    Antara 30 hingga 50 ekor penyu agar ditemui mati atau hampir mati Khamis lalu dengan luka tikaman pada leher dan anggota lain, di sebuah pantai di pulau Kumejima, sekitar 1,600km dari barat daya Tokyo.

    “Ia adalah pemandangan yang sangat menakutkan,” menurut Yoshimitsu Tsukakoshi, ahli kanan di Kumejima Umigamekan, badan pemeliharaan penyu laut tempatan.

    “Penyu agar adalah haiwan yang sangat lembut dan ia akan lari apabila manusia menghampirinya,” Tsukakoshi memberitahu AFP hari ini.

    “Saya masih tidak percaya ia masih boleh berlaku pada zaman ini.”

    Yuji Tabata, ketua koperasi nelayan tempatan, memberitahu AFP bahawa lelaki yang bertanggungjawab telah mengakui menikam penyu-penyu tersebut selepas ia terjerat pada pukat ikannya.

    Para nelayan, yang nama mereka tidak didedahkan, memberitahu koperasi bahawa lelaki berkenaan telah melepaskan banyak penyu yang terjerat, tetapi selepas bergelut dengan haiwan tersebut, dia mula menikamnya supaya dapat melemahkannya.

    “Lelaki itu mendedahkan bahawa dia tidak pernah melihat banyak penyu terjerat pada pukatnya dan kini dia menyesali perbuatannya,” kata Tabata.

    Kerajaan bandar tempatan dan pihak polis sedang menyiasat kejadian tersebut, seorang pegawai pembandaran memberitahu AFP, namun enggan mengatakan sama ada nelayan tersebut akan berdepan hukuman disebabkan kejadian itu.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...