Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Nelayan tangkap Pari gergasi 180kg di Sg Mekong

    PHNOM PENH, 11 MEI – Nelayan Kemboja di Sungai Mekong terkejut apabila mereka secara tidak sengaja menangkap seekor ikan pari air tawar gergasi yang terancam sepanjang empat meter dan berat 180kg, saintis-saintis berkata hari ini.

    Ikan raksasa betina itu, salah satu spesies ikan terbesar dan paling jarang di Asia Tenggara, ditangkap tanpa sengaja minggu lalu di wilayah Stung Treng apabila ia menelan ikan kecil yang telah memakan umpan pada mata kail.

    Satu pasukan pakar antarabangsa bagi projek Wonders of the Mekong yang ditaja Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan nelayan-nelayan berkenaan untuk melepaskan ikan pari berkenaan daripada mata kail sebelum menimbang dan mengukurnya serta mengembalikannya ke sungai.

    Sungai Mekong adalah habitat penting bagi pelbagai spesies besar dan kecil, tetapi ketua projek Zeb Hogan, seorang ahli biologi dari University of Nevada, berkata bahawa ekosistem dalam air sungai itu tidak begitu difahami.

    “Ia adalah dunia yang tidak kelihatan, kurang dihargai dan luar penglihatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan universitinya.

    Lebih 1,000 spesies ikan hidup di sungai berkenaan dan ikan pari itu bukanlah satu-satunya gergasi yang menghuni perairan berlumpur itu, ikan duri dan kap gergasi juga mencecah hingga 3 meter panjang dan berat 70kg.

    Kumpulan penyelidik berkenaan berkata dalam kenyataan itu bahawa lokasi terpencil di mana ikan pari itu ditangkap mempunyai kedalaman 80 meter dan mungkin mempunyai spesimen yang lebih besar. – AFP

    Gambar yang diambil pada 5 Mei dan dikeluarkan pada 10 Mei oleh projek Wonders of the Mekong menunjukkan ikan pari air tawar gergasi betina yang ditangkap dan dilepaskan di Sungai Mekong, wilayah Stung Treng, Kemboja. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...