Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    NY kembalikan barang antik bernilai AS$19 juta

    NEW YORK, 7 SEPT – Pendakwa raya di New York kelmarin memulangkan berpuluh-puluh barang antik yang dicuri dari Itali dianggarkan bernilai kira-kira AS$19 juta, beberapa daripadanya ditemui di Muzium Seni Metropolitan.

    “58 barang antik berkenaan mewakili sejarah kaya beribu-ribu tahun lamanya, namun penyeludup di seluruh Itali menggunakan perompak untuk mencuri barang-barang ini dan menjualnya demi keuntungan diri sendiri,” kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, sambil menyatakan bahawa ia ialah penghantaran pulang yang ketiga dalam tempoh sembilan bulan.

    “Barang antik itu sudah terlalu lama berada di muzium, rumah dan galeri yang tidak mempunyai tuntutan yang sah terhadap pemilikan mereka,” katanya pada majlis yang dihadiri oleh diplomat Itali dan pegawai pe- nguatkuasa undang-undang.

    Barangan yang dicuri itu telah dijual kepada salah seorang pengumpul seni purba terkemuka di dunia, Michael Steinhardt, kata pejabat pendakwa raya, sambil menambah bahawa Steinhardt telah dikenakan hukuman larangan seumur hidup untuk memperoleh serta memiliki barang antik.

    Antara barang antik yang ditemui dijual kepada pengumpul dan muzium tanpa disedari adalah kepala marmar dewi Yunani Athens dari 200 SM dan cawan minuman sejak 470 SM, kata pegawai berkuasa.

    Barang tersebut dicuri atas arahan empat orang lelaki yang mengetuai perusahaan jenayah yang menguntungkan di mana mereka akan menggunakan perompak tempatan untuk menyerbu tapak arkeologi di seluruh Itali, yang kebanyakannya tidak mempunyai sistem kawalan yang ketat.

    Salah seorang daripada mereka adalah Pasquale Camera, iaitu seorang ketua jenayah serantau yang merancang pencurian dari muzium dan gereja seawal tahun 1960-an. Dia kemudian mula membeli artifak yang dicuri daripada perompak tempatan dan menjualnya kepada peniaga barang antik.

    Pejabat pendakwa raya berkata bahawa tahun ini sahaja, pejabat tersebut telah memulangkan hampir 300 barang antik bernilai lebih AS$66 juta kepada 12 buah negara. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...