Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Pacu transformasi digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa usaha-usaha pemulihan ekonomi, kesan daripada wabak koronavirus memerlukan langkah berhati-hati termasuk dengan melonggarkan sekatan yang dahulunya menyebabkan kegiatan perekonomian terjejas.

    Sehubungan itu, ia telah memaksa sektor awam dan swasta untuk menerapkan budaya penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan seharian.

    “Ini menjadikan kita, perlu mempercepatkan pengukuhan transformasi digital bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan. Perkara ini selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital 2025,” titah Baginda.

    Semua itu memerlukan kesepaduan dan kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan, titah Baginda dalam Titah Perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun 2022 yang disiarkan di saluran radio dan televisyen seluruh negara, malam ini.

    Baginda bertitah, “Penularan wabak koronavirus benar-benar menguji kesabaran dan keupayaan negara dalam membendung wabak ini. Program Vaksinasi Kebangsaan yang dilaksanakan secara berperingkat, boleh dianggap mencapai hasil yang baik.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun. – Gambar oleh Infofoto

    “Di samping itu, satu usaha yang baik juga telah diungkayahkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan mengadakan Rancangan Malam Munajat yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui istighfar, membaca Yasin, bertazkirah dan lain-lain bentuk zikir. Semoga dengan itu, rakyat dan negara akan mendapat perlindungan serta terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit khasnya wabak koronavirus.”

    Baginda turut menyarankan agar bacaan Surah Yasin dapat dibaca secara suara ramai, bukan hanya suara seorang, bacaan secara tartil juga mustahak tidak terlalu cepat sehingga boleh menjejaskan kesempurnaan bacaan.

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa Hari Kebangsaan adalah detik bersejarah bagi setiap negara merdeka, tidak terkecuali juga bagi Negara Brunei Darussalam.

    “Dengan menyambut Hari Kebangsaan, kita dapat mengenang dan menghargai nilai kemerdekaan termasuk pengorbanan mereka yang bekerja keras untuk kemerdekaan itu.

    “Sayugia, kemerdekaan itu wajar dipelihara oleh sekalian rakyat dan penduduk dengan semangat patriotik yang tinggi, selaku warisan berharga yang berhak dinikmati oleh generasi demi generasi,” titah Baginda.

    Selama 38 tahun Negara Brunei Darussalam merdeka, Baginda menyatakan pelbagai cabaran telah ditempuhi, namun jentera pembangunan tetap terus berfungsi menghasilkan perkembangan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

    “Di antara pencapaian terpenting kerajaan Beta, berupaya untuk melaksanakan Projek Perumahan Negara untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

    “Turut amat ketara juga ialah terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong. Dengan terbinanya jambatan ini, banyaklah manfaat dapat diraih. Selain untuk kemudahan perhubungan, ia juga mengilhami kita untuk segera bergerak ke hadapan menjana kemajuan,” tekan Baginda.

    Baginda bertitah, “Di antaranya sekarang negara telah menubuhkan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk merancang pelbagai perancangan termasuk memajukan bidang pertanian serta juga menjadikan daerah ini sebagai destinasi ekopelancongan.”

    Sementara Rancangan Kemajuan Negara, titah Baginda, adalah merupakan projek jangka panjang secara menyeluruh untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh dinikmati oleh rakyat termasuk pelabur-pelabur di negara ini.

    “Ini juga menjadi keutamaan untuk dilaksanakan.”

    Dalam mengakhiri titah perutusan itu, Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 pada tahun ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...