Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pakar gesa M’sia segera tangani perubahan iklim

    KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Berikutan keadaan cuaca yang ekstrim di beberapa kawasan di dunia, pakar mahu Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri menggesa para pemimpin dunia supaya mengambil tindakan segera ke atas perubahan iklim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

    Profesor dan Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planetari Sunway Centre Malaysia, Tan Sri Dr Jemiah Mahmood berkata kesepaduan sangat diperlukan ketika krisis kali ini, bagi memacu transformasi global ke arah ekonomi planetari baharu.

    “Kita perlukan para pemimpin dunia untuk mengesahkan mengenai perlunya kita menurunkan suhu, kita perlu kekalkan bahan api fosil di tempatnya.

    “Kita perlu segera beralih kepada bentuk ekonomi baharu. Saya harap beliau (perdana menteri) akan bersuara lantang dan jelas,” katanya pada bual bicara The Nation Bernama TV, hari ini.

    Ismail Sabri dijangka berucap pada UNGA ke-77 pada 23 September ini. Jemiah berkata Malaysia sudah membuktikan komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi penubuhan Pusat SDC Nasional, yang bermatlamat memperkasa dan meningkatkan program ke arah masa depan negara yang lebih baik dan mampan.

    “Belum ada pusat seumpama ini di rantau ini. Oleh itu saya berpendapat perdana menteri wajar  bangga untuk menyatakan bahawa negara ini sudah melabur dalam bidang ini serta komited memandangkan ia telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12. Kita perlu tunjuk kepada dunia cara melakukannya,” katanya.

    Sementara itu, seorang lagi pakar, Peter Nicol berkata Malaysia mampu meletakkan negara ini sebagai peneraju dunia dari segi agenda hijau (mesra alam) dan tenaga boleh baharu.

    Namun, penganalisis global berkata kunci kepada pembangunan mampan ialah kesediaan setiap kerajaan untuk menjayakan agenda berkenaan.

    “Ini kerana kunci kepada kejayaannya bukan terletak di tangan PBB. Ia boleh ketengahkan, beri amaran dan boleh memberi penyelesaiannya.

    “Namun, terpulang kepada setiap kerajaan, yang bertanggungjawab untuk mengambil maklum dan bertindak melaksanakannya di negara masing-masing,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...