Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pakej produk pelancongan Temburong dilancar

    Oleh Nurdiyanah R.

    TEMBURONG, 3 FEB – Sebagai salah satu strategi untuk menyokong sektor pelancongan domestik di saat negara mengalami impak penularan COVID-19, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melancarkan Pakej-pakej Produk Temburong pada majlis yang berlangsung di The Abode Resort and Spa, Daerah Temburong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan pakej produk pelancongan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong yang sekali gus menyaksikan brosur dan tayangan video berkisar pelancongan menarik di daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapan alu-aluannya berkata, sejak langkah pengawalan diperketatkan disebabkan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini pada Ogos lalu, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengambil inisiatif untuk meneliti semula dan seterusnya mengenal pasti produk-produk dan aktiviti-aktiviti pelancongan yang dapat dipakejkan bagi keempat-empat daerah.

    Jelasnya lagi, beberapa brosur telah dihasilkan yang mengandungi maklumat mengenai pakej-pakej produk pelancongan bagi keempat-empat daerah. Pakej-pakej tersebut merupakan sample itineraries yang mana harga pakej tidak termasuk kos penginapan, makan minum, pengangkutan dan bayaran perkhidmatan ejen pelancongan.

    “Ini bertujuan untuk memberikan harga indikatif minimum serta fleksibiliti kepada para pengunjung bagi memilih aktiviti atau perkhidmatan tambahan mengikut cita rasa masing-masing.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan pakej produk pelancongan berkenaan pada majlis yang berlangsung di The Abode Resort and Spa, kelmarin.
    Dalam usaha untuk meningkatkan lagi tarikan pelancongan di negara ini, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melancarkan Pakej-pakej Produk Temburong yang disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong di Kompleks Utama Bumiputera Temburong, kelmarin.- Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelancongan Mampan ASEAN bagi Kategori Luar Bandar kepada Freme Travel Services Sdn Bhd menerusi pakej Terokai Temburong yang diwakili oleh Pengiran Dato Paduka Osman selaku pengarah syarikat yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
    Lawatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali di sekitar Abode Resort and Spa.
    Antara pengamal media dan agensi pelancongan semasa mengikuti lawatan suai kenal pakej produk pelancongan Daerah Temburong.

    “Dengan adanya pakej seumpama ini diharap dapat membantu pengunjung untuk merancang perjalanan sen-diri, walaubagaimanapun penggunaan perkhidmatan ejen pelancongan adalah disarankan bagi memastikan pengalaman percutian yang selamat, lancar dan teratur,” ujarnya lanjut.

    Beliau turut menyatakan bahawa pakej-pakej produk pelancongan berkenaan berjaya dihasilkan atas kerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan pelancongan antaranya Persatuan Ejen Pelancongan Brunei (ATAB), Persatuan Hotel Brunei (BAH), penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan termasuk yang berasaskan komuniti dan majlis perundingan kampung (MPK) melalui pejabat daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    “Sehubungan itu, bagi mempromosikan lagi pakej-pakej produk pelancongan, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah menghasilkan video-video promosi yang memfokuskan kepada produk dan aktiviti pelancongan yang terdapat di keempat-empat daerah,” ujarnya lagi.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelancongan Mapan ASEAN bagi Kategori Luar Bandar kepada Freme Travel Services Sdn Bhd menerusi Pakej Teroka Temburong dua hari satu malam, yang diwakili oleh Pengiran Dato Paduka Osman bin Pengiran Haji Patra selaku pengarah syarikat. Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.

    Dalam pada itu, program lawatan suai kenal bagi para pengamal media dan agensi pelancongan turut diadakan sejurus majlis pelancaran di mana rombongan berpeluang menerokai kemudahan The Abode Resort and Spa diikuti dengan menyaksikan variasi produk dan perkhidmatan MPK di Daerah Temburong di Kompleks Utama Bumiputera Temburong, Pekan Bangar dan dimeriahkan lagi dengan persembahan kebudayaan yang turut dihadiri oleh Yang Berhomat Dato serta para jemputan yang lain.

    Menurut kenyataan KSSUP, pelancaran pakej-pakej produk pelancongan berkenaan juga dihasratkan untuk mengukuhkan pelancongan utama negara dan sekali gus memperkenalkan produk baharu yang memiliki potensi bagi dibangunkan sebagai tarikan pelancong.

    Menerusi pakej-pakej produk pelancongan berkenaan, ia bermatlamat untuk mempromosikan tempat-tempat menarik yang menawarkan perkhidmatan experiential tours yang menggabungkan kesemua produk utama dan juga ciptaan baharu khususnya mukim-mukim perundingan kampung.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu pihak berkepentingan pelancongan secara menyeluruh seperti perhotelan, pemandu pelancong, agensi pelancongan dan penyedia perkhidmatan pelancongan dalam menyediakan jadual perjalanan yang inklusif dan fleksibel.

    Promosi pakej produk pelancongan akan diteruskan dengan pelancaran pakej produk pelancongan di Daerah Brunei dan Muara pada Sabtu ini yang akan diadakan di Pusat Pengkajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebelum diikuti dengan dua daerah yang lain pada hari-hari berikutnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...