Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pamer patriotisme, kibarkan bendera dengan megah

    Detik-detik perjuangan memerdekakan negara kembali diimbas setiap tahun apabila bendera besar negara dikibarkan, menandakan lambang pertunjukan patriotik dan kemeriahan yang bakal dinikmati rakyat.

    Sambutan penuh bersejarah itu adalah merupakan salah satu daripada sambutan hari-hari kebesaran negara yang begitu dinanti-nanti dan diraikan setiap tahun.

    Pelbagai acara utama telah diaturkan pada sambutan berkenaan dan turut dimeriahkan dengan acara sampingan bagi memperingati peristiwa gilang-gemilang. Hal ini sekali gus dapat melahirkan dan mendidik seluruh lapisan rakyat dan penduduk untuk lebih bersemangat patriotik dan perasaan cinta serta menabur bakti kepada tanah air di mana kita dilahirkan.

    Megah berkibar bendera besar negara

    Megah berkibarnya bendera besar negara di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, baru-baru ini, menandakan bermulanya acara-acara keraian bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 menjelang 23 Februari nanti.

    Lazimnya ia juga diikuti dengan pengibaran bendera di peringkat daerah yang mana ia sebagai satu manifestasi bagi menzahirkan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada negara sekali gus kepimpinan dan pemerintahan raja yang kita kasihi.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengibarkan bendera mengikut cara pemasangan yang betul seperti tiang bendera tidak boleh dipacak terus ke tanah.
    Gambar fail pelajar sekolah mengadakan aktiviti di sekolah bagi menanam sifat patriotik bersempena menyambut Hari Kebangsaan.

    Bersempena dengan sambutan itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah dikehendaki untuk mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam bukan hanya di rumah-rumah persendirian bahkan juga di kawasan pembinaan, perusahaan, premis-premis perniagaan dan pejabat.

    Sehubungan itu, bagi pengiran-pengiran hendaklah mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran hendaklah mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.

    Bendera bukan sekadar kain

    Setiap negara mempunyai benderanya tersendiri, ini kerana bendera merupakan lambang kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara yang mana semua negara di dunia ini memiliki bendera rasmi mereka sendiri tidak terkecuali dengan negara kita Negara Brunei Darussalam.

    Bendera negara yang mempunyai warna kuning, putih, hitam dan merah adalah lambang kepada kewujudan dan kedaulatan sebuah negara. Dalam pada itu, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita perlu meningkatkan semangat patriotisme selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Malah semangat patriotik ini juga boleh disemai melalui penghargaan kita terhadap bendera negara. Bendera bukan sekadar sehelai kain yang dikibarkan sebagai perhiasan, bahkan ia merupakan lambang yang membuktikan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara.

    Kibarlah dengan teratur

    Dalam pada itu, selaku rakyat dan penduduk yang taat setia kepada kedaulatan negara, maka adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab kita untuk mengibarkan bendera dengan megahnya dengan tatacara dan peraturan yang betul sama ada ketika menaikkan dan memasangnya.

    Setiap bendera hendaklah diletakkan di tempat yang mulia dan terhormat kerana bendera melambangkan kedaulatan negara dan bangsa serta mengibarkannya mengikut peraturan dan cara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan yang baik, bersih, tidak kotor dan koyak, tidak pudar dan lusuh serta masih utuh keadaannya.

    Menyentuh mengenai cara pemasangan yang betul, bendera hendaklah dikibarkan menegak menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki dengan pendakap khas tiang bendera secara 30 hingga 45 darjah bagi di kawasan beranda. Manakala bagi kawasan depan rumah gunakanlah tiang bendera tidak melebihi 20 kaki bagi bendera negara dan 30 kaki bagi bendera-bendera peribadi.

    Sementara bangunan-bangunan kerajaan atau swasta pula hendaklah menaikkan dan mengibarkan bendera negara di atas bangunan dengan menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki. Bagi hadapan bangunan pula ketinggian tiang bendera tidak melebihi 20 kaki.

    Namun perlu diingatkan bersama bahawa tiang bendera janganlah dipacak terus ke tanah.

    Sediakanlah tempat yang bersesuaian dan hendaklah menggunakan tiang bendera seperti yang telah disuruh serta elakkan memasangnya di belakang rumah atau bangunan.

    Sebagai citra sejarah bangsa

    Hakikatnya, jika diamati dengan tulus, pengibaran bendera merupakan satu simbolik dan platform dalam menzahirkan perasaan cinta serta semangat patriotik kepada raja, negara, bangsa dan agama serta kesatuan dan perpaduan pada mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta identiti bangsa.

    Secara umumnya, bendera negara adalah citra sejarah dan jati diri bangsa bagi satu-satu negara.

    Oleh itu, hormatilah dan kibarkanlah bendera kebangsaan kita dengan megahnya kerana ia adalah lambang identiti dan maruah negara. Justeru itu, janganlah mengabaikan bendera negara begitu sahaja, peliharalah dengan sebaik-baiknya.

    Di samping sentiasa meningkatkan kesyukuran dan taat setia kepada tanah air dengan sentiasa memohon doa semoga negara yang kita cintai akan sentiasa dipayungi dengan sinaran rahmat dan perlindunganNya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...