Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Pantai, tanah perkuburan dibersihkan

    Oleh Syahmi Hassan dan Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Sebanyak 57 beg plastik dengan berat 477.7kg, telah berjaya dikumpulkan semasa kempen kebersihan pantai yang dianjurkan oleh Persatuan Jepun dengan kerjasama Green Brunei di Pantai Serasa, kelmarin.

    Sampah tersebut terdiri daripada ujian ART yang telah digunakan, tayar, botol plastik, bungkusan makanan, dan bakul plastik.

    Acara tersebut dihadiri oleh 46 orang sukarelawan, termasuk ekspatriat Jepun dan ahli keluarga mereka, serta ahli-ahli dari Green Brunei.

    Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam selaku Presiden Kehormat Persatuan Jepun, Tuan Yang Terutama Maeda Toru juga menghadiri acara tersebut.

    Sementara itu, dalam usaha menjaga kebersihan persekitaran, ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Marang, hari ini, telah mengadakan kempen kebersihan bagi membersihkan Tanah Perkuburan Islam Sungai Panjang Kampung Batu Marang.

    TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama para sukarelawan di Pantai Serasa.
    Gotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Sungai Panjang, Kampung Batu Marang.

    Kempen kebersihan yang telah bermula seawal pukul 7:30 pagi itu, turut dihadiri oleh Pengarah, Haji Abdul Rahman bin Haji Naim; Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Saiful Rizal bin Haji Abdul Ghafar selaku pengerusi takmir.

    Dengan adanya kempen seumpama ini, ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan ahli jawatankuasa takmir masjid dan orang ramai.

    Sementara itu, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kulapis dan Jawatankuasa Takmir Masjid Pehin Khatib Abdullah (PeKA) dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Balai Polis sengkurong, hari ini, telah menjayakan acara kempen kebersihan dan gotong-royong di Tanah Perkuburan Islam Larikan di Kampung Kulapis.

    Acara tahunan itu adalah salah satu program bersama di antara MPK Kulapis, Takmir Masjid PeKA dengan pihak PPDB sebelum kedatangan bulan Ramadan dan telah melibatkan lebih 30 orang penduduk kampung dan jemaah Masjid PeKA serta sekitar 10 orang anggota Balai Polis Sengkurong.

    Hadir ke majlis berkenaan adalah Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohamad Asyramisyanie bin Kamis serta imam-imam Masjid PeKA iaitu Imam Tingkat I, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani dan Haji Burhanuddin bin Haji Damit.

    Menurut Awang Mohamad Asyramisyanie, acara tersebut merupakan suatu tradisi yang perlu terus dipupuk dan diteruskan menjelang kedatangan bulan Ramadan sebagai wadah amalan bagi memberikan keselesaan kepada ahli keluarga yang menziarahi pusara sanak saudara yang sudah kembali ke rahmatullah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan catat suhu paling panas pada April

    SEOUL, 7 MEI - Korea Selatan mengalami April terpanas sejak rekod komprehensif bermula pada 1973, kata agensi cuaca hari ini, dengan purata suhu harian...