Sunday, April 28, 2024
24.9 C
Brunei

    -

    Pasukan bola sepak wanita England langkah kanan

    MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 7 JULAI – Pengurus bola sepak wanita England, Sarina Wiegman berpuas hati dengan kehadiran penonton yang dicatatkan seramai 69,000 orang sebagai bukti kepada sejauh mana prestasi pasukannya telah meningkat, ketika Lionesses memulakan saingan Euro 2022 Wanita UEFA dengan kemenangan 1-0 ke atas Austria kelmarin.

    Jumlah kehadiran tersebut memecahkan bilangan yang tertinggi sebelum ini untuk perlawanan di Kejohanan Eropah wanita dengan hampir seramai 30,000 orang penonton.

    Sebahagian besar penyokong di dalam Theatre of Dreams menggegarkan stadium dengan sorakan apabila gol awal Beth Mead memastikan tuan rumah meraih kemenangan walaupun persembahan Lionesses kurang memuaskan.

    “Sungguh sukar dipercayai. Kami tidak menyangka dapat bermain di sini di Old Trafford di hadapan hampir 70,000 orang penonton,” kata Wiegman.

    Kelebihan menjadi tuan rumah adalah salah satu sebab mengapa England dianggap antara pilihan untuk memenangi kejohanan tersebut.

    Wiegman yang membimbing pasukan bola sepak wanita Belanda dengan meraih kemenangan di Euro 2017, kini belum pernah tewas dalam 15 perlawanan sejak mengambil alih tugas pada September lalu.

    Tuan rumah memulakan kejohanan itu dengan penuh bergaya pada minit ke-16 apabila hantaran tinggi Fran Kirby disambut baik oleh Mead dan penyerang Arsenal itu dengan tenang melakukan chip mengatasi penjaga gol Austria, Carina Wenninger.

    Carina Wenninger membuat percubaan terdesak untuk menyelamatkan tetapi bola telah melepasi garisan sebelum sempat ditolak keluar. – AFP

    Barbara Dunst (kiri) bersaing mendapatkan bola semasa perlawanan bola sepak Kumpulan A Euro 2022 Wanita UEFA di Old Trafford, Manchester, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...