Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    AirAsia dedah penyenaraian baharu di bawah penggabungan AS$1.4b

    KUALA LUMPUR, 26 APRIL – Konglomerat Malaysia, Capital A hari ini memaklumkan bahawa ia telah memuktamadkan perjanjian RM6.8 bilion (AS$1.4 bilion) untuk menggabungkan syarikat penerbangan gabungannya di bawah entiti senarai baharu yang dinamakan AirAsia Group.

    Capital A, yang diketuai oleh Tony Fernandes dan termasuk perniagaan logistik dan pembayaran digital Bigpay, berkata pada Januari bahawa mereka akan menjual syarikat penerbangan bajet mereka, AirAsia, kepada anak syarikat perjalanan sederhananya, AirAsia X.

    Perjanjian yang diumumkan hari ini berkenaan akan termasuk ahli gabungan lain, AirAsia Aviation Group, dalam jualan itu.

    Fernandes, yang telah menangguhkan rancangan untuk bersara daripada Capital A, memberitahu pemberita bahawa rancangan itu akan membantu syarikat itu keluar daripada status kesusahan kewangan sejak 2020.

    “Langkah strategik untuk menggabungkan pelbagai unit syarikat penerbangannya pada asasnya didorong oleh pertumbuhan,” kata Fernandes.

    Gambar fail penerbangan Air Asia dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah, Sarawak dan Brunei pada 18 April lalu. – Bernama

    “Dengan menyatukannya, struktur kos kami akan lebih rendah dan margin lebih tinggi,” katanya.

    Entiti baharu itu mungkin akan disenaraikan di Malaysia pada September, kata bekas eksekutif muzik itu.

    Capital A beroperasi di bawah status kesulitan kewangan Practice Note 17 (PN17) sejak Julai 2020 selepas kebimbangan dibangkitkan oleh juruaudit luar Ernst & Young tentang amalan kewangan dan ekuiti pemegang sahamnya.

    Para penganalisis berkata, penggabungan perniagaan penerbangan juga akan membantunya lebih berdaya saing berbanding syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

    “(AirAsia Group) akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk bersaing secara berkesan dengan syarikat-syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang mantap seperti SIA, Emirates, JAL dll,” kata Hong Leong Investment Bank dalam nota penyelidikan, hari ini.

    Shukor Yusof, penganalisis Endau Analytics yang berpangkalan di Singapura, berkata bahawa penyatuan di bawah satu payung itu adalah berpandangan jauh.

    “Walaupun prospek syarikat penerbangan cerah sekarang, ia telah mendatar dan mulai sekarang keadaan tidak akan dapat diramalkan kerana geopolitik kelihatan semakin teruk pada 2024 dan seterusnya,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...