NEW YORK, 16 SEPT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini memberi amaran dunia bakal menghadapi kecemasan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini, apabila 345 juta penduduk dijangka dicengkam kebuluran, termasuk 70 juta yang kini menghampiri kebuluran akibat perang di Ukraine.
Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia PBB, David Beasley, memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa 345 juta orang menghadapi masalah kekurangan makanan yang meruncing di 82 buah negara, di mana agensi itu beroperasi.
Menurutnya, angka itu dua setengah kali ganda bilangan orang yang tidak mempunyai bekalan makanan mencukupi sebelum COVID melanda pada 2020. Keadaan itu amat membimbangkan kerana 50 juta daripadanya berada di 45 negara, mengalami kekurangan zat makanan sangat teruk dan di ambang kebuluran, tambahnya.
“Gelombang kelaparan yang terjadi kini bertukar menjadi tsunami kelaparan,” katanya merujuk kepada peningkatan konflik, kesan ekonomi pandemik COVID, perubahan iklim, kenaikan harga bahan api dan perang di Ukraine.
Sejak Rusia menceroboh negara jirannya pada 24 Februari lalu, Beasley mengatakan kos makanan, bahan api dan baja naik mendadak sehingga mendorong 70 juta orang di ambang kebuluran.
Meskipun perjanjian Julai lalu membenarkan bekalan bijirin Ukraine dihantar dari tiga pelabuhan Laut Hitam namun ia disekat oleh Rusia. Bagaimanapun usaha berterusan dibuat untuk memastikan baja dari Rusia kembali ke pasaran global.
“Terdapat risiko sebenar dan berbahaya bagi kebuluran berganda tahun ini. Pada 2023, krisis harga makanan semasa boleh berkembang menjadi krisis ketersediaan makanan jika kita tidak segera bertindak,” kata Beasley.
Majlis Keselamatan PBB menumpu kepada ketakjaminan makanan disebabkan konflik dan risiko kebuluran di Ethiopia, timur laut Nigeria, Sudan Selatan dan Yaman.
Beasley dan Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths, turut memberi amaran mengenai krisis makanan di Somalia yang mereka lawati baru-baru ini. Griffiths turut meletakkan Afghanistan dalam senarai teratas. – AP
