Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Dengan matlamat untuk mengetahui lebih dekat sistem kurikulum pembelajaran peringkat prauniversiti, dua pegawai dari Gachon University, Korea mengadakan lawatan ke Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), kelmarin.
Semasa lawatan, pelawat Korea iaitu Pengurus Besar Pejabat Antarabangsa, Juneki Kim dan Pengurus Pejabat Antarabangsa, Seunghwan Lee, diiringi dua pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Ali Shafie bin Pengiran Haji Abas dan Pengiran Hamiosmera bin Pengiran Haji Othman.
Pelawat berkenaan dialu-alukan oleh Pengetua Maktab Duli, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, timbalan-timbalan pengetua serta kumpulan pengurusan maktab.
Setelah rombongan tiba di maktab berkenaan, mereka sempat bergambar ramai bersama para pelajar yang berpakaian tradisional Brunei dan Korea.
