Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Peluang keemasan datang lagi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Lafaz syukur alhamdulillah antara zikir yang perlu kerap kita lafazkan terutama pada bulan suci ini tika seluruh dunia masih lagi dilanda wabak COVID kerana kita telah diberi peluang keemasan sekali lagi dapat bernafas dan menunaikan ibadat untuk meraih pahala berlipat ganda demi mengejar hari kemenangan di dunia dan juga akhirat.

    Salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah terdapatnya satu malam penuh berkat yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

    Malam yang hanya muncul pada 10 hari terakhir bulan Ramadan lebih dikenali dengan Lailatulqadar merupakan malam yang amat istimewa dan amat dinanti-nantikan kemunculannya oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah Taala.

    Oleh itu, alangkah ruginya jika kita tidak dapat memanfaatkan waktu pada bulan mulia ini untuk mempertingkatkan amal kepada Allah SWT dari semasa ke semasa.

    Ingatlah, jika kita tidak mengambil peluang keemasan pada Ramadan ini, Ramadan akan datang belum tentu kita bertemunya lagi.

    Sebuah keluarga India semasa berbuka puasa di Masjid Mecca di Hyderabad pada 3 April. Berbuka dan berjemaah bersama keluarga dapat mengeratkan silaturahim dan mewujudkan keluarga sakinah mawaddah warahmah. – AFP
    Masyarakat Islam di Indonesia membaca Al-Quran di Masjid Baitussalihin di Banda Aceh pada 4 April. Bulan Ramadan perlu diisi dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran. – AFP
    Kemunculan bazar mahu pun gerai-gerai di kawasan bandar dan kampung-kampung turut menceriakan lagi suasana bulan Ramadan untuk sama-sama meraih manfaat dalam mencari rezeki yang halal di samping menyediakan cita rasa variasi juadah untuk berbuka. – Gambar oleh Daniel Lim

    Lihatlah berapa ramai sahabat dan saudara yang dipanggil pulang Allah SWT kepangkuanNya, sebulan malah ada yang sehari sebelum datangnya Ramadan kali ini.

    Justeru, gunakan masa sebaik mungkin dengan menyeimbangkan antara keperluan kehidupan dunia dan akhirat. Sesungguhnya jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengekori tetapi jika kita mendahulukan dunia, akhirat akan tercicir.

    Mendidik jiwa ke arah kebaikan

    Berpuasa pada bulan Ramadan bukan hanya melatih diri untuk menahan lapar dan dahaga, namun ia juga mendidik diri untuk meningkatkan dan memperkasakan segala amal kebajikan kita dari masa ke semasa.

    Antara syarat yang terkandung dalam Rukun Islam kelima ini adalah tanggungjawab kita untuk menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar sadik hingga masuk matahari dengan niat dan syarat-syarat tertentu, kewajipan ini jelas terbukti di dalam kitab suci Al-Quran melalui Surah Al-Baqarah, sebagaimana tafsirnya dalam ayat 183.

    “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa.”

    Ini kerana bulan yang memiliki lambakan pahala dan kasih sayang Allah SWT ini pastinya amat dirindui oleh orang-orang mukmin kerana hadirnya membawa 1,000 satu rahsia kelebihan dan kebaikan. Sebagaimana maksud daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Tabrani dan Baihaqi.

    “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun.”

    Antara amal ibadah yang perlu kita lakukan pada bulan yang penuh kemuliaan ini ialah memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, mengerjakan sembahyang fardu berjemaah di masjid, qiamullail dan sembahyang sunat, membaca tahlil, mengerjakan dan bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan serta memperbanyakkan amalan bersedekah kepada yang memerlukan.

    Selain itu, kita juga perlu menerapkan adab-adab dalam diri sepanjang menjalani ibadah puasa seperti menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa seperti menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.

    Kesemua ini pastinya mampu mendidik diri kita untuk menjadi seseorang umat yang memahami erti kesabaran dan keinsafan serta ketakwaan demi untuk memperolehi keredaan Allah SWT.

    Mengeratkan nilai silaturahim

    Di sebalik perlaksanaan amal ibadah sepanjang bulan ini, ia setentunya juga mampu mewujudkan hikmah yang begitu besar dalam institusi kekeluargaan yang mana kita dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang dan silaturahim antara satu sama yang lain, di samping saling memperingati ahli keluarga kita agar memanfaatkan kelebihan pada bulan yang penuh ganjaran ini.

    Antara aktiviti kekeluargaan yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim adalah dengan berbuka dan bersahur bersama-sama kerana ia dapat melatih sesama keluarga untuk berbagi rezeki, berampit-ampitan makanan dan sebaliknya menyedekahkannya jika berlebihan.

    Selepas berbuka, ahli keluarga pula bersama-sama mengerjakan sembahyang fardu dan sembahyang sunat Tarawih di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat mahu pun di kediaman masing-masing dan juga diselajurkan dengan bertadarus Al-Quran.

    Dengan adanya semangat dalam mengerjakan amal ibadat bersama ini, ia sudah setentunya dapat mengukuhkan mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah, mawaddah, warahmah.

    Inilah budaya Islam yang seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

    Bersama meraih rezeki

    Dalam pada itu, kemunculan bazar mahu pun gerai-gerai secara kecil-kecilan atau besar-besaran tidak kira di kawasan bandar mahu pun sekitar kampung-kampung di negara ini turut memeriahkan lagi suasana bulan Ramadan untuk sama-sama meraih manfaat dalam mencari rezeki yang halal di samping menyediakan cita rasa variasi juadah untuk berbuka.

    Apa yang penting, sebagai peniaga, pastikan ciri-ciri berniaga yang baik dipatuhi iaitu bersikap tolak ansur berkaitan dengan harga, bersifat jujur dan amanah, tidak melakukan penipuan penimbang berat dan tidak terlalu mementingkan keuntungan. Hal ini amat penting agar perniagaan yang dijalankan akan bertambah maju dan berkembang serta mampu meningkatkan keberkatan, keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

    Tibanya Ramadan, sekali setahun ini, pastinya membawa sebesar-besar rahmat dan keberkatan kepada seluruh umat Islam untuk menyucikan jiwa, diri dan akhlak daripada sifat-sifat yang keji yang bukan sahaja memberikan impikasi negatif kepada diri, bahkan juga keluarga dan masyarakat.

    Oleh itu tersangatlah rugi jika kita tidak merebut peluang itu, bahkan membiarkan peluang itu pergi begitu sahaja. Walau bagaimanapun, perlu ditekankan juga untuk kita sentiasa mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) di mana-mana sahaja keberadaan kita dalam sama-sama membendung krisis kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...