Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pemimpin APEC diseru percepat pemulihan ekonomi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Pemimpin-pemimpin perniagaan Asia-Pasifik, dalam Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang bersidang di Ha Long, Vietnam, menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini yang dihadapi oleh rantau berkenaan.

    Pandemik yang berterusan, konflik geopolitik, inflasi dan gangguan rantaian bekalan merupakan isu-isu yang menjejaskan perniagaan kecil dan besar secara langsung serta memerlukan kepimpinan serta tindakan yang lebih kukuh daripada APEC.

    Ketika menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan perjumpaan, Presiden Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Xuan Phuc menyatakan harapan untuk menyaksikan ABAC mengemukakan cadangan bagi menangani cabaran yang dihadapi oleh ekonomi-ekonomi APEC serta mengambil maklum bahawa Vietnam dan ekonomi-ekonomi APEC yang lain sentiasa menghargai dan menyokong pandangan ABAC pada masa lalu.

    Sementara itu, Pengerusi ABAC 2022 dan Pengerusi Federation of Thai Industries, Kriengkrai Thiennukul berkata semasa perjumpaan itu, ahli-ahli ABAC bersetuju pada cadangan-cadangan yang akan dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin APEC untuk menghadapi cabaran-cabaran berkenaan dengan mempercepatkan pemulihan ekonomi rantau serta memperoleh momentum bagi pertumbuhan jangka panjang yang berdaya tahan, inklusif, mampan dan dinamik.

    Beliau menambah bahawa laporan mereka kepada para pemimpin meliputi cabaran-cabaran utama dalam menangani inflasi, menghadapi ketidakamanan tenaga dan makanan serta menangani perubahan iklim.

    Dayang Suzannawati dan Dayang Nik Hafimi menghadiri perjumpaan berkenaan selaku ahli ABAC Brunei. – Gambar serahan ABAC Brunei

    Kenyataan menyatakan, ABAC akan menyampaikan cadangan mereka kepada pemimpin-pemimpin ekonomi APEC apabila mereka berkumpul bagi dialog tahunan di Bangkok, Thailand pada 18 November nanti.

    ABAC juga akan menyampaikan pandangan perniagaan pada mesyuarat-mesyuarat menteri APEC dan mesyuarat peringkat tinggi yang meliputi sekuriti makanan, PKS, wanita, kesihatan, ekonomi dan kewangan.

    Ahli-ahli ABAC turut menghadiri Forum on Business Linkage on Vietnam Eastern Highway Economic Corridor (VEHEC) dan Investment Promotion Conference of Quang Ninh Province 2022: Quang Ninh-Combine The Best yang diadakan di samping mesyuarat di mana mereka berpeluang untuk berjumpa pemimpin pentadbiran wilayah bagi empat wilayah yang terletak di sepanjang lebuh raya timur Vietnam.

    Ahli ABAC Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju berkata bahawa ia merupakan perjumpaan ABAC yang produktif dihadiri oleh delegasi Brunei.

    Beliau menerangkan bahawa ahli-ahli ABAC bersetuju terhadap cadangan yang akan dibuat kepada pemimpin-pemimpin APEC dengan matlamat untuk mempercepatkan pemulihan daripada kesan pandemik, inflasi serta gangguan rantaian bekalan.

    ABAC Brunei, jelasnya lagi, menyumbang kepada perbincangan dan tugasan yang dilaksanakan mengenai usaha kolaboratif kukuh yang diperlukan untuk menyokong PMKS menerusi penggunaan infrastruktur digital asas dengan matlamat untuk memastikan kita terus berdaya tahan serta mampan untuk semua.

    Manakala itu, ahli ABAC Brunei dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK,
    Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii berkata sebagai ahli ABAC, mereka bukan sahaja berperanan untuk memajukan naratif sebagai suara perniagaan kepada pemimpin APEC tetapi juga untuk menyampaikan keperluan dalam cadangan dengan ekonomi global dan serantau bertindak balas terhadap pemulihan pasca pandemik.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...