Monday, April 29, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Penduduk HK ‘serbu’ pasar raya

    HONG KONG, 1 MAC – Pasar raya di Hong Kong kehabisan barang disebabkan penduduk membuat pembelian panik berikutan khabar angin mengatakan kerajaan akan mengenakan perintah berkurung di seluruh bandar pada bulan ini.

    Ketidaktentuan mengenai peraturan COVID-19 telah menyebabkan penduduk di bandar itu membanjiri pasar raya, farmasi dan gedung sayur membeli stok makanan untuk simpanan, sehingga rak-rak kosong di seluruh bandar itu.

    Gambar-gambar tersebar di media sosial menunjukkan orang ramai mengalami kesukaran untuk mencari pelbagai barangan termasuk daging mentah, sayur, makanan beku, mi, parasetamol dan kit ujian.

    “Kami seperti semut keluar dari sarang, cuba mengambil segala yang ada,” kata seorang wanita, yang hanya dikenali sebagai Wu, memberitahu AFP hari ini di pasar raya di mana kebanyakan sayur-sayuran dan daging mentah sudah habis dijual.

    Hab kewangan itu sedang bergelut dengan penularan koronavirus paling buruk, mencatatkan puluhan ribu kes baharu setiap hari, hospital yang terbeban dan strategi sifar COVID-19 yang gagal.

    Rak-rak di pasar raya yang kosong setelah penduduk Hong Kong membuat pembelian panik ekoran khabar angina mengatakan kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung. – AP

    Pihak berkuasa merancang untuk menjalankan ujian besar-besaran ke atas semua 7.4 juta penduduk pada bulan ini dan mengasingkan semua pesakit sama ada di rumah atau dalam khemah yang masih dalam pembinaan dengan bantuan tanah besar China.

    Pemimpin bandar itu, Carrie Lam pada awalnya menafikan akan melaksanakan perintah berkurung ketat di mana orang ramai tidak dibenarkan keluar rumah semasa tempoh ujian.

    Namun kelmarin, ketua kesihatan, Sophia Chan mengesahkan ia masih dipertimbangkan, sehari selepas pegawai tinggi China menyifatkan ia adalah pilihan terbaik.

    Hari ini beberapa media Hong Kong termasuk HK01, Singtao dan South China Morning Post turut melaporkan pihak berkuasa merancang beberapa pilihan perintah berkurung semasa tempoh ujian, memetik sumber. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    4 maut diserang gajah liar di India

    NEW DELHI, 28 APRIL - Sekurang-kurangnya empat orang termasuk pegawai perhutanan maut diserang seekor gajah liar di negeri Assam, timur laut india, lapor Xinhua...