Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Penghantaran kenderaan Tesla meningkat Q3

    WASHINGTON, 3 OKT – Penghantaran kenderaan baharu oleh Tesla meningkat pada suku ketiga (Q3), mengatasi tiga bulan sebelumnya di mana kilangnya di China ditutup selama beberapa minggu, umum pembuat kereta elektrik Amerika Syarikat (AS) itu semalam.

    Antara Julai dan September, Tesla menghantar sejumlah 343,380 kenderaan di seluruh dunia, kata syarikat yang diketuai oleh Elon Musk dalam satu kenyataan.

    Ia mewakili peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan 35 peratus lebih tinggi daripada suku kedua 2022.

    Walaupun keputusan Q3 menunjukkan pengembalian kepada pertumbuhan untuk penghantaran Tesla, jumlah keseluruhannya berada di hujung paling bawah anggaran penganalisis, iaitu antara 343,000 dan 370,000.

    Syarikat itu berkata ia menghadapi masalah berkaitan ‘kapasiti pengangkutan kenderaan,’ yang diharapkan dapat diselesaikan dengan pengedaran yang lebih baik di kilangnya termasuk tapak yang dibuka baru-baru ini di Berlin dan Austin, Texas.

    Gambar fail menunjukkan logo Tesla dilihat di bilik pameran Tesla di pusat beli-belah di Beijing. Penghantaran kenderaan baharu oleh Tesla meningkat pada suku ketiga. – AFP

    Penganalisis Wedbush Securities Dan Ives menyifatkan suku itu sebagai ‘tiada apa yang perlu ditulis’ dalam nota kepada pelabur, manakala pasaran mungkin ‘kecewa dengan jumlah penghantaran yang lebih rendah pada 3Q.’

    “Makanya, kami melihat ini lebih kepada masalah logistik dan bukannya permulaan trajektori penghantaran yang kurang memberangsangkan,” tambahnya.

    Tesla berjaya menambah penghantaran setiap suku tahun sejak permulaan wabak, kecuali suku kedua tahun ini, apabila syarikat itu terpaksa menutup kilangnya di China.

    Tesla juga melaporkan peningkatan dalam pengeluaran kereta, dengan 365,923 kenderaan dikeluarkan pada suku ketiga – 54 peratus lebih berbanding tempoh yang sama tahun lepas, walaupun pada kadar yang mungkin menghalangnya daripada mencapai jumlah 1.5 juta kenderaan untuk tahun ini, seperti yang diramalkan Musk pada bulan April. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...