Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Penyelidikan bidang khusus tingkat ekonomi negara

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Universiti Teknologi Brunei (UTB) disarankan mempertingkatkan penyelidikan khususnya dalam bidang-bidang seperti sains, teknologi industri hiliran, sains bahan dan kecerdasan buatan (AI).

    Penyelidikan seumpamanya dapat menyumbang penghasilan penerbitan, paten dan pengkomersialan yang akan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor UTB menekankan perkara itu ketika berkenan bertitah pada Majlis Konvokesyen ke-9 UTB di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin. Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor UTB.

    Baginda turut melahirkan kegembiraan dengan langkah dan inisiatif UTB dalam mendukung hasrat negara ke arah Smart Nation yang dipacu oleh landskap teknologi digital dalam kerajaan, ekonomi dan masyarakat.

    “Beta juga menyambut baik kerjasama berterusan UTB dengan pihak industri termasuk kerjasama UTB dengan Brunei Shell Petroleum dan Shell Deepwater Borneo untuk menubuhkan Artifical Intelligence Lab di UTB yang merupakan Gift to the Nation.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada YAM Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir.
    Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UTB ke-9, kelmarin.

    “Manakala kerjasama dengan Makmal Akademi ICT Huawei adalah melalui pensijilan nilai tambah kepada pasaran pekerjaan global dalam bidang ICT.

    “Selain itu, UTB dan AITI juga akan menubuhkan makmal 5G bagi 5G Use Cases Showcases dalam kampus di mana program artikulasi di antara UTB dan Micronet International College dalam Ijazah Sains Pengkomputeran akan melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang multimedia dan network security,” titah Baginda.

    Baginda turut memuji kejayaan UTB meraih kecemerlangan dalam penarafan Bintang 5-Plus oleh QS Start Rating, membuktikan ketangkasan UTB melonjakkan UTB kepada piawaian global.

    Baginda turut maklum bahawa UTB berjaya meraih kedudukan ke-344 di QS World University.

    Perkara lain yang juga menggembirakan, titah Baginda lagi, kejayaan UTB QS World University Rankings, ke-126 di QS Asia University Rangking dan tempat ke-40 di Asia bagi universiti di bawah umur 50 tahun.

    “Beta juga mengambil maklum, sejak 2018 UTB telah naik 98 anak tangga dan meningkat tiga kali serta tidak menunjukkan prestasi negatif.

    Kejayaan ini telah meletakkan UTB di hadapan beberapa buah universiti berprestij manakala, laporan QS, juga telah mendedahkan pada julung kalinya, Program Kejuruteraan Petroleum UTB telah mencapai tangga 150 teratas dan program Kejuruteraan Awam dan Struktur pula meraih 5 bintang, tekan Baginda.

    Sehubungan itu, Baginda mengucapkan syabas atas kejayaan tersebut dan maklum pada majlis konvokesyen kali ini, turut menyaksikan penganugerahan sulung bagi ijazah Sarjana Muda Sains dalam Architecture, Data Analytics, Matematik Gunaan dan Ekonomi serta Sains Makanan dan Teknologi hasil pengemaskinian program ditawarkan oleh UTB yang mengikut keperluan dan trend semasa, dihasratkan untuk mendukung keperluan dan perkembangan negara.

    Manakala program-program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi kecuali Kejuruteraan telah dipendekkan kepada tiga tahun, titah Baginda.

    Baginda seterusnya menasihatkan, supaya kesempatan ini dapat digunakan untuk menyemak sumber keperluan tenaga pekerja secara menyeluruh menurut keperluan kepakaran.

    Baginda berharap semua graduan dapat memberi sumbangan yang positif kepada ekonomi negara sebagai tenaga kerja yang memiliki growth mindset dan lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dan merebut peluang daripada perkembangan teknologi dan perubahan global yang pesat.

    “Beta turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga UTB, yang merangkumi ahli-ahli majlis dan senat, naib canselor, para pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka,” titah Baginda lagi.

    Terdahulu, Baginda turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan dan ibu bapa mereka, di atas kejayaan mereka, berharap ia akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...