Tuesday, May 21, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Peralatan dan teknik pikat pahat-pahat

    Oleh Raz AS –

    Ikan pahat-pahat atau juga dikenali sebagai flathead dalam bahasa Inggeris merupakan spesies ikan daripada keluarga platycephalidae yang boleh didapati di perairan Indo-Pasifik termasuk di negara kita, Brunei Darussalam.

    Ikan pahat-pahat dikenal pasti dengan rupanya yang unik. Badannya lebar, pipih dan panjang dengan kedua matanya terletak pada bahagian atas kepalanya yang memberikannya penglihatan yang baik untuk menyerang hendap mangsanya yang berenang di kawasan permukaan dan pertengahan air.

    Ikan yang boleh membesar sehingga tiga meter panjang dengan saiz biasanya di antara 30 hingga 50 sentimeter panjang itu adalah penghuni kawasan muara sungai yang dasarnya berpasir serta di kawasan pesisir pantai.

    Ikan pahat-pahat menjadikan ikan-ikan kecil dan udang sebagai diet utamanya dengan menyerang hendap mangsanya dari bawah.

    Ikan ini menggunakan struktur badannya yang pipih untuk bersembunyi di dalam pasir dengan warna badannya yang boleh bertukar untuk menyerupai dasar dan menyerang mangsa-mangsa yang tidak perasaan akan kehadirannya.

    Ikan pahat-pahat yang menghuni kawasan pesisir pantai dan muara yang dasarnya berpasir boleh dipikat menggunakan umpan tiruan jenis softplastic. – GAMBAR OLEH ADRIFT FISHING
    Set pancing ringan dengan reel bersaiz 2000-3000 merupakan peralatan yang sesuai digunakan untuk memburu ikan pahat-pahat. – GAMBAR OLEH TACKLETACTICS

    Ikan ini mempunyai duri sengat yang terletak pada kedua-dua sisi kepalanya dan juga bahagian atas kepalanya.

    Meskipun sengatnya tidak berbahaya kepada nyawa manusia namun bisanya boleh mendatangkan kesakitan kepada orang yang terkena sengatannya.

    Meskipun ikan tersebut tidak popular di kalangan peminat-peminat aktiviti memancing di negara ini, namun di Australia ia dianggap sebagai salah satu buruan utama oleh pemancing-pemancing di negara itu.

    Ikan tersebut juga popular dijadikan sebagai hidangan kerana rasanya yang enak.

    Selain dipancing menggunakan umpan hidup seperti udang, ikan itu juga boleh dipikat menggunakan umpan tiruan daripada jenis minnow dan softplastic.

    Kelengkapan yang disyorkan untuk memburu spesies ini menggunakan umpan tiruan adalah joran spinning yang mempunyai kekuatan dua hingga empat kilogram, enam kaki enam inci hingga tujuh kaki panjang, spinning reel bersaiz 2000-3000 yang dilengkapi dengan tali utama yang menggunakan braided line 5-10lb dan perambut fluorocarbon 10-15lb.

    Manakala umpan tiruan bersesuaian adalah daripada berukuran dua setengah inci hingga empat inci panjang daripada jenis minnow, popper dan pensil untuk hard lure, manakala untuk softplastic pula boleh menggunakan jenis paddletail dan curltail atau bentuk udang.

    Antara teknik gulungan yang popular digunakan pula adalah teknik slow roll, di mana gulungan berterusan dilakukan dengan perlahan, serta teknik burn dan kill, gulungan dilakukan sebanyak tiga ke empat kali putaran reel sebelum berhenti seketika beberapa saat.

    Disyorkan juga untuk menggunakan jighead yang berat agar umpan sentiasa mencecah dasar apabila gulungan dihentikan.

    Akhir sekali ialah teknik hopping di mana hujung joran diangkat sebanyak dua kali dengan cepat (double hop) setelah umpan mula-mula mencecah dasar, tali hanya digulung sedikit setelah umpan mencecah dasar agar tidak kendur sebelum double hop dilakukan kembali.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lawatan Putera Mahkota Saudi ke Jepun ditangguh

    TOKYO, 20 MEI - Lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman ke Jepun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan kesihatan bapanya, Raja Salman yang kurang...