Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Perjanjian bekal komputer dimeterai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Sebanyak 3,837 buah komputer riba yang dibekalkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah selesai diagihkan kepada institusi-institusi pendidikan agama seluruh negara.

    Daripada jumlah tersebut, 3442 buah komputer riba dibekalkan kepada tenaga pengajar di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

    Ini termasuk guru-guru agama di sekolah-sekolah rendah dan menengah kerajaan dan swasta serta institusi khas.

    Manakala itu, 395 buah komputer riba dibekalkan kepada penuntut bantuan di sekolah-sekolah Arab dan ITQSHHB.

    Selain itu, 4,087 data internet dengan kuota data berjumlah 10GB setiap bulan akan mula diberikan kepada semua tenaga pengajar dan penuntut bantuan untuk tempoh tiga tahun mulai 1 April tahun ini.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama sesi bergambar ramai bersama ketua-ketua eksekutif syarikat telekomunikasi dan warga KHEU.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama wakil-wakil daripada KHEU dan UNN selepas menandatangani perjanjian.

    Sehubungan itu, KHEU dengan Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd telah menandatangani kontrak perjanjian bagi pembekalan komputer riba dan data Internet untuk tenaga pengajar dan penuntut di institusi-institusi pendidikan di bawah KHEU, hari ini, yang berlangsung di KHEU, Jalan Dewan Majlis.

    Dengan kontrak perjanjian berkenaan, institusi-institusi agama khususnya sekolah-sekolah di bawah JPI dan ITQSHHB akan mengambil berbagai-bagai inisiatif untuk meneroka dan mengimplementasikan kaedah-kaedah pembelajaran secara blended, iaitu gabungan pembelajaran dalam talian dan bersemuka supaya pendidikan agama dan Bahasa Arab dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis penandatanganan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, kemudian diikuti dengan ucapan daripada Ketua Bahagian Teknologi Maklumat di KHEU, Dayang Rosyanti binti Haji Lamat dan Ketua Pegawai Eksekutif UNN, Dr Steffen Oehler.

    Menandatangani bagi pihak KHEU ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, manakala UNN diwakili oleh Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku timbalan pengerusi UNN.

    Perjanjian berkenaan adalah antara inisiatif projek e-Education solution yang diungkayahkan UNN iaitu membekalkan alat mengajar untuk para guru menyediakan pembelajaran dalam talian dan untuk pelajar yang memerlukan serta menghadapi kekangan untuk menghadiri kelas secara dalam talian.

    Kontrak selama tiga tahun diberikan kepada rangkaian infrastruktur telekomunikasi dimiliki oleh UNN bersama syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Datastream Digital (DST) Sdn Bhd, imagine Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd.

    Menurut Dr Steffen Oehler, dengan kemunculan semula penularan COVID tahun lepas, kita telah belajar bahawa kita perlu menyesuaikan diri dengan realiti dan meneroka cara untuk meneruskan apa yang penting untuk kita dalam persekitaran yang berubah-ubah.

    Pendidikan berterusan khususnya, membolehkan pelajar kami belajar setiap hari adalah aspek yang sangat penting yang membawa kepada majlis penandatanganan bersama KHEU berkenaan untuk menangani keperluan bersama Kementerian Pendidikan.

    Pergerakan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam talian di seluruh negara memerlukan pendekatan lebih mendalam. Ia juga merupakan pendekatan inovatif bagi kementerian, untuk menambah sarana digital pendidikan kepada prasarana sedia ada dan pengajaran bersemuka.

    Beliau juga mengongsikan beberapa komponen yang ada untuk penyelesaian e-Pendidikan iaitu kandungan untuk kelas dalam talian, disediakan melalui penilaian sumber awam dan aplikasi kepada semua pelajar dan guru, peranti (komputer riba) yang membolehkan guru menyediakan pelajaran dan menjana kandungan digital untuk digunakan dalam talian di bilik darjah dan banyak lagi.

    Turut hadir semasa majlis penandatanganan kontrak tersebut ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam; Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit; Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif imagine, Dayang Suzannawati binti Haji Suharju.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...