Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    PIP YSHHB cetus sinar kejayaan anak tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Begitu banyak nilai-nilai positif yang telah mengembangkan prestasi diri sebagai seorang pelajar menerusi kurikulum dan kokurikulum yang diketengahkan oleh para guru dan warga sekolah sepanjang mengikuti pendidikan di Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

    Antaranya, meningkatkan kemahiran pertuturan terutamanya dari segi kebolehan berbahasa Inggeris dengan lebih baik dari sebelumnya menerusi sesi pembentangan dalam kelas dan juga aktiviti kokurikulum yang begitu menarik seperti bidang lakonan drama.

    Demikian perkongsian daripada Dayang Siti Nurul Nadia binti Suhailian, 24, salah seorang alumni Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) YSHHB sekitar tahun 2009, yang kini sudah menggenggam kejayaan meniti bidang kerjaya secara rasmi hampir setahun sebagai pelatih operator di Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd.

    Selaras dengan salah satu matlamat strategik YSHHB iaitu Mendukung Pencapaian Pendidikan yang Berkualiti dan Saksama, PIP terus menanai matlamat tulus ke arah usaha meningkatkan pencapaian pendidikan para pelajar dan golongan yang kurang berkemampuan di negara ini.

    Projek Kelas Tuisyen YSHHB bantu tingkat akademik
    Mengimbas kembali peluang keemasan setelah terpilih menyertai Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP, Dayang Siti Nurul Nadia yang ketika itu menuntut dalam Tahun 6 di Sekolah Rendah Pintu Malim, meluahkan rasa syukur di mana pelbagai kemudahan telah dinikmati bukan hanya dari segi akademik bahkan kemudahan-kemudahan lain seperti penyediaan keperluan makanan dan minuman dan pengangkutan perahu dan bas tersedia secara percuma berulang-alik dari kediamannya di Kampung Bolkiah ke kelas tuisyen di Sekolah Rendah YSHHB.

    Semasa menuntut di peringkat institusi pengajian tinggi, Dayang Siti Nurul Nadia mengambil program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam bidang Chemical and Process Engineering di UBD sekali gus turut berpeluang menyertai program internship di Universiti Zhejiang (ZJU), China menerusi jalinan kerjasama UBD dan ZJU di samping di bawah biasiswa Hengyi Industries Sdn Bhd.

    Peluang mengikuti PIP telah mencetus sinar kejayaan kepada Dayang Siti Nurul Nadia sehingga menerima tawaran biasiswa Yayasan melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah YSHHB.
    Dayang Siti Nurul Nadia yang kini sudah menjawat jawatan sebagai pelatih operator di Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd.

    Berkongsi lanjut mengenai perjalanan dunia pendidikannya, beliau yang memperoleh keputusan 5A dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) pada ketika itu, mendapat satu rezeki yang tidak disangka apabila menerima tawaran biasiswa Yayasan untuk melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah YSHHB dari Tahun 1 hingga berjaya menduduki Peperiksaan GCE O Level dengan meraih 9O.

    Kemudian Dayang Siti Nurul Nadia meneruskan lagi pendidikan di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) selama dua tahun sebelum melanjutkan langkah kejayaannya ke peringkat institusi pengajian tinggi di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Dengan mengambil program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam bidang Chemical and Process Engineering selama empat tahun, beliau turut berpeluang menyertai program internship kira-kira setahun lebih di Universiti Zhejiang (ZJU), China menerusi jalinan kerjasama UBD dan ZJU di samping di bawah biasiswa Hengyi Industries Sdn Bhd termasuklah peluang pekerjaan tetap sehingga ke detik ini.

    Pencetus sinar kejayaan
    Sebagai anak keempat dari lima orang bersaudara, Dayang Siti Nurul Nadia turut berkongsi bahawa begitu besar pengorbanan yang diberikan oleh pihak Yayasan kepada dirinya pada ketika itu yang pastinya sesuatu yang sukar dilupakan sampai bila-bila.

    “Mengenang kembali, setelah terpilih menyertai Projek Kelas Tuisyen lebih-lebih setelah menerima biasiswa melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah YSHHB itu sejujurnya memang sukar untuk diri ini ungkapkan dengan kata-kata sepenuhnya.

    “Namun apa yang saya ingin luahkan dari lubuk hati ini, ia pencetus sinar harapan sekali gus meningkatkan motivasi jati diri untuk sentiasa berusaha menaik taraf prestasi pembelajaran dengan lebih baik lagi dari semasa ke semasa demi menggapai cita-cita dan impian selama ini,” ucapnya yang turut berhasrat untuk menyertai apa sahaja aktiviti kesukarelawanan di bawah kendalian Yayasan demi sama-sama menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.

    Beliau turut menasihati para belia di luar sana agar jangan pernah melepaskan peluang dan terus berusaha dan yakin dalam apa sahaja yang dilakukan.

    “Jangan lepaskan peluang selagi ada, bukan mudah untuk memperolehnya, namun perlu berbekalkan komitmen dan usaha berterusan dalam diri dalam apa sahaja yang kita lakukan, itulah kunci kejayaan.

    “Yakinlah di sebalik kesukaran yang dihadapi itu pasti ada kemanisan menanti,” jelasnya ketika mengakhiri temu bual bersama Media Permata.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...