Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    700 pelajar hadiri Minggu Orientasi UTB

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Kira-kira 700 orang pelajar telah diterima melanjutkan pengajian diUniversiti Teknologi Brunei (UTB) bagi pengambilan tahun akademik 2022/2023 dan memulakan Minggu Orientasi yang bermula dengan ucapan Naib Canselor di Dewan Serbaguna, Fasa 3, UTB, hari ini.

    Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya menzahirkan perasaan syukur dan teruja apabila dapat bersua secara langsung dengan para pelajar baharu yang diterima masuk meskipun tetap harus menerapkan langkah-langkah keselamatan dalam suasana norma baharu pada masa ini.

    “Kampus dan kemudahan-kemudahannya yang ada akan menyediakan ruang kepada para pelajar untuk mencuba pengembaraan baharu, membangunkan kemahiran insaniah baharu atau meningkatkan kemahiran insaniah yang telah diperoleh sebelum menyertai UTB.

    “Dengan peluang tersebut, Insya-Allah, para pelajar bersedia untuk menjadi pelajar serba boleh, bersedia untuk membangunkan sifat-sifat yang mendalam sama ada fizikal, rohani, intelek dan sosial, sambil berusaha untuk mendidik diri sendiri dan melengkapkan awda bagi kehidupan selepas universiti,” jelas Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.

    Pada masa yang sama, beliau turut menggalakkan para pelajar untuk menetapkan matlamat peribadi dan akademik yang tinggi bagi diri mereka sendiri di samping menjadi proaktif dan sentiasa melibatkan diri semasa berpasukan sama ada dalam aktiviti akademik dan kokurikulum.

    Pelajar-pelajar kemudiannya mengangkat ikrar di hadapan pegawai utama, pensyarah dan kakitangan universiti sebelum acara diakhiri dengan tayangan slaid multimedia dan bacaan Doa Selamat.

    Program orientasi selama seminggu itu padat dengan sesi taklimat dan pelbagai aktiviti yang direka khas untuk membantu pelajar baharu dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti.

    Beberapa aktiviti termasuk sesi taklimat, pelbagai sesi ceramah motivasi, kaunseling, keagamaan dan ceramah kesedaran oleh penceramah jemputan dari organisasi lain, lawatan kampus, program sukarelawan dan lain-lain turut diadakan.

    Manakala petak Aktiviti Kokurikulum (CCA) juga telah disediakan di kampus sebelum minggu orientasi untuk menonjolkan kepelbagaian aktiviti, organisasi dan kelab bagi para pelajar pengambilan baharu untuk meneroka dan mendaftar.

    Pelajar baharu mengangkat ikrar semasa Minggu Orientasi yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Fasa 3, UTB, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...