Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    PM Malaysia tiba untuk lawatan 2 hari

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Sri Muhaini Zainal Abidin serta rombongan tiba di Bandar Seri Begawan malam ini bagi lawatan rasmi dua hari.

    Berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia dan isteri ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

    Turut hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Yang Amat Berhormat dan isteri ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku menteri pengiring dan datin.

    Juga berada di LTAB ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan datin; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan datin; Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Sejurus ketibaan, Perdana Menteri Malaysia memeriksa perbarisan kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Yang Amat Berhormat seterusnya diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan isteri; pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan isteri; ketua-ketua perwakilan asing di Negara Brunei Darussalam bersama pasangan; dan setiausaha-setiausaha tetap daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama pasangan masing-masing.

    Rombongan Yang Amat Berhormat termasuk Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Shahidan bin Kasim; dan Menteri Luar Negeri Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.

    Semasa lawatan rasmi ini, Perdana Menteri Malaysia dan isteri serta rombongan dijangka akan mengadap kehadapan majlis Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha di Istana Nurul Iman esok.

    Ini adalah merupakan lawatan rasmi pertama Yang Amat Berhormat ke Negara Brunei Darussalam sebagai Perdana Menteri Malaysia sejak pelantikannya pada 21 Ogos 2021.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia di LTAB, semalam. Turut berangkat YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ketika berkenan mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Malaysia.
    Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semasa memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...