FREETOWN, 25 MEI – Sebatang pokok menjulang tinggi berusia berabad-abad yang menjadi simbol bersejarah di Sierra Leone telah tumbang semasa ribut angin dan hujan di ibu negara Freetown, kata kerajaan hari ini.
Ceiba pentandra setinggi 70 meter yang dikenali oleh warga Sierra Leone sebagai ‘Pokok Kapas’ – kehilangan semua dahannya lewat semalam, dengan hanya pangkal batangnya yang besar masih berdiri, kata kenyataan kerajaan, memetik ‘hujan lebat dan angin kencang’.
Ia menganggarkan pokok itu berusia kira-kira 400 tahun.
“Semua warga Sierra Leone akan bertafakur sejenak atas kehilangan simbol negara yang berprestij iaitu Pokok Kapas,” kata Presiden Julius Maada Bio.
“Selama berabad-abad ia telah menjadi lambang kebanggaan negara kita, simbol sebuah negara yang telah menyediakan perlindungan kepada ramai orang.” Pokok tersebut telah menghiasi wang kertas dan setem, telah dikunjungi oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1961, dan kekal sebagai mercu tanda sejak itu. – AFP
