Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Porsche lancar Discovering Dreams

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ke-76, Porsche Brunei melancarkan inisiatif Discovering Dreams untuk menggalakkan belia mempercayai kuasa impian.

    Diilhamkan daripada Wawasan 2035 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, juga dikenali sebagai Wawasan Brunei 2035, inisiatif Discovering Dreams ini bertujuan menggalakkan belia untuk menghidupkan impian mereka. Inisiatif itu dilancarkan pada 15 Julai lalu sempena memperingati Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-76. Inisiatif Porsche Brunei Discovering Dreams menampilkan perenang negara Awang Muis Ahmad, yang mengejar impian zaman kanak-kanaknya untuk menjadi perenang Olimpik.

    Produksi video menunjukkan kehidupan harian Awang Muis semasa beliau menjalani rutin latihannya, sambil berkongsi perjalanan peribadinya mencapai impian untuk bertanding dalam Sukan Olimpik. Minat Awang Muis dalam sukan renang berkembang pada usia muda, bermula dengan pelajaran berenang di sekolah. Beliau menyertai kelab renang tempatan dengan sokongan ibu bapanya, mencipta nama pada pertandingan renang dan akhirnya dipilih dalam pasukan renang kebangsaan.

    Semangatnya yang tinggi dalam renang, digabung dengan ketekunan dan ketabahan, mendorongnya untuk memaksimumkan potensinya dan mengembangkan sukan itu di Negara Brunei Darussalam. Dengan menjadikan Awang Muis sebagai contoh, Porsche Brunei berusaha menekankan bahawa dengan keyakinan, impian boleh dihidupkan.

    Selain itu, Porsche Brunei ingin memainkan peranan dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, dengan menggalakkan golongan belia merealisasikan potensi mereka.

    Porsche Brunei juga menyokong visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi mewujudkan persekitaran yang mampan, bersih dan hijau menjelang 2035, dengan menekankan kemapanan di Porsche. Video juga memaparkan Porsche Taycan serba elektrik, neutral karbon dioksida dalam proses pembuatannya sejak ia dilancarkan pada 2019.

    Taycan mewakili kelestarian dan kehidupan mapan, dan contoh yang sama ditunjukkan dalam penerbitan video di mana Awang Muis bertemu dengan wakil dari tempat peranginan tempatan yang dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui. Porsche Brunei berharap untuk terus menanamkan semangat belia negara untuk mempercayai kuasa impian, serta sentiasa tabah mengharungi cabaran dan menjadikan impian mereka satu realiti.

    Awang Muis semasa ditemui media sempena pelancaran inisiatif Discovering Dreams baru-baru ini.- Gambar serahan Porsche Brunei
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...