Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Promosi semangat positif dalam masyarakat

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan Bank Baiduri

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Kesejahteraan Kakitangan (EWI), Bank Baiduri telah mengadakan dua acara dalam semangat Ramadan untuk mempromosikan semangat positif dalam individu dan masyarakat.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, acara pertama merupakan ceramah kesihatan spiritual bertajuk Be kind to your mind, yang diadakan di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri pada 26 April lalu.

    Ceramah itu dikendalikan oleh penceramah motivasi yang terkenal di Brunei, Dayang Hanisah Othman yang menumpukan kepada memperoleh dan mengekalkan pemikiran yang sihat berdasarkan kepada falsafah-falsafah Islam.

    Acara hibrid itu dihadiri oleh lebih 30 orang kakitangan Baiduri secara bersemuka dan lebih 50 orang kakitangan menghadirinya secara dalam talian.

    Pengarah Urusan Baiduri Finance, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib dalam kata alu-aluannya mengetengahkan pentingnya untuk menjaga kesihatan fizikal, mental dan spiritual seseorang itu.

    Ti Eng Hui dan Veronica Chong semasa hadir bagi membantu menyiapkan hidangan sebelum ia dihantar kepada para penerima di Ibu Pejabat SCOT.
    Petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan, pesakit-pesakit di Hospital RIPAS dan wad psikiatri menerima sumbangan daripada Baiduri dengan kerjasama SCOT.

    “Saya berharap ceramah ini akan membantu kita untuk mencari kaedah baharu untuk menghadapi perjuangan tertentu dan memperkasa kita untuk mencapai matlamat kita di rumah dan juga di tempat kerja,” tambah beliau.

    Acara kedua ialah aktiviti amal dengan kerjasama inisiatif Social Kitchen Society for Community Outreach and Training (SCOT), yang diadakan pada 30 April lalu.

    Kenyataan menjelaskan bahawa matlamat kerjasama itu adalah untuk membantu SCOT dalam menyediakan makanan bagi petugas-petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan, pesakit-pesakit di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan wad psikiatri di Brunei sambil menyediakan peluang kepada ibu-ibu tunggal untuk mendapatkan pekerjaan dengan menyediakan makanan berkenaan.

    Menurut Ketua Pentadbiran dan Sumber Manusia Kumpulan Bank Baiduri, Veronica Chong, keghairahan kakitangan untuk mengambil bahagian dalam acara itu menunjukkan nilai teras bank sebagai berdaya usaha dan mendemonstrasikan empati.

    “Organisasi seperti SCOT, yang menganjurkan aktiviti amal dan menyediakan sebuah landasan bagi kita untuk memberi kembali kepada komuniti kita, merupakan wira-wira tersembunyi,” ujarnya.

    Beliau menyatakan harapan bahawa menerusi sokongan itu, mereka akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif serupa. Mengulas mengenai inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata bahawa bagi mewakili kakitangan yang telah menderma kepada usaha itu, mereka berharap sumbangan yang tidak seberapa itu, akan menyediakan sedikit keriangan dan kelegaan kepada keluarga-keluarga berkenaan.

    Manakala itu, mengulas terhadap sasaran 250 hidangan berkenaan, beliau amat bangga menyatakan bahawa menerusi kemurahan hati dan kesanggupan untuk menyumbang kepada usaha berkebajikan itu, kakitangan Bank Baiduri dan anak-anak syarikatnya telah dapat untuk menyumbangkan secara kolektif lebih daripada 800 hidangan.

    “Dengan respons yang amat luar biasa itu, kami gembira dapat menyumbang ke arah satu lagi pusingan sumbangan hidangan bagi masyarakat secara amnya.”

    Menurutnya lagi, juga amat membanggakan apabila mengetahui bahawa inisiatif itu diterajui menerusi sumbangan daripada kakitangan bank dan duta-duta EWI.

    Beliau menambah bahawa inisiatif-inisiatif berkenaan adalah selaras dengan komitmen bank kepada tanggungjawab sosial korporat dan amat bersesuaian dalam ethos penciptaan bersama bank.

    Inisiatif-inisiatif serupa itu, ulasnya, adalah selaras dengan misi bank untuk mengayakan, memperkasakan dan melibatkan komuniti-komuniti yang dilayani secara mampan dan bertanggungjawab.

    Sebagai sebahagian daripada sumbangan kepada SCOT, Ti Eng Hui juga berada di Ibu Pejabat SCOT untuk membantu menyiapkan hidangan sebelum ia dihantar kepada para penerima.

    Turut hadir pada acara itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Awang Abdol Haziz bin Haji Ahad; Veronica Chong dan Timbalan Ketua Sumber Manusia Kumpulan Bank Baiduri, Chiam Chin Huei.

    EWI Bank Baiduri bermula pada November 2020 dengan hasrat untuk memperbaiki dan meningkatkan kesedaran kesihatan fizikal, mental dan juga spiritual kakitangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...